Khamis, 21 Disember 2023 | 2:35pm

Bayi 4 bulan maut dipercayai tersedak susu

PUTRAJAYA: Bayi lelaki berusia empat bulan maut selepas dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan pengasuhnya di kuarters kerajaan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata seorang pengadu yang juga pegawai perubatan berusia 32 tahun memberitahu, pada jam 10.30 pagi beliau bersama pasukan perubatan ambulans telah datang ke kuarters itu selepas menerima aduan seorang bayi tersedak susu.

Menurutnya, semasa pengadu tiba di tempat kejadian, ibu mangsa sedang memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) yang kemudiannya diambil alih oleh pengadu disebabkan mangsa tidak sedarkan diri.

Katanya, selepas kira-kira 40 minit diberikan CPR jantung mangsa kembali normal dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Zon Merah, Hospital Putrajaya dengan bantuan alat pernafasan.

"Pengadu juga melakukan pemeriksaan fizikal dan mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasil siasatan mendapati mangsa adalah anak ketiga daripada tiga adik beradik dan ibu mangsa adalah Pembantu Tadbir di sebuah kementerian manakala bapa mangsa pula bekerja sebagai pemandu di kementerian lain.

A Asmadi berkata, kira- kira jam 3 petang semalam pegawai perubatan yang ditugaskan untuk memantau mangsa di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital memaklumkan mangsa telah meninggal dunia.

Menurutnya, hasil siasatan dan keterangan daripada pengasuh menyatakan, kejadian berlaku ketika beliau sedang memberi susu kepada mangsa dan secara tiba-tiba telah tersedak dan mengeluarkan air susu daripada hidungnya.

Katanya, berikutan itu, pengasuh cuba memberi bantuan dengan menepuk dan menggosok belakang mangsa namun mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pengasuh juga telah menghubungi ibu mangsa dan ambulans dan hasil siasatan mendapati ketika kejadian hanya pengasuh seorang dewasa yang berada di kediamannya yang dijadikan sebagai pusat jagaan," katanya.

A Asmadi menambah, siasatan mendapati pusat jagaan itu tidak mempunyai lesen dan sijil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, punca kematian masih belum dikenal pasti dan polis masih menunggu hasil laporan daripada makmal perubatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 / 6 (1) Akta Taman Asuhan 1984," katanya.

Berita Harian X