Khamis, 21 Disember 2023 | 12:06pm

Pemegang kad OKU bakal nikmati tambang percuma pengangkutan awam

KUALA LUMPUR: Semua pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) boleh menikmati tambang percuma bagi pengangkutan awam mulai 1 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata tambang percuma itu termasuk semua perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di Lembah Klang.

"Ini satu inisiatif penting walaupun ada implikasi kewangan kepada pihak prasarana kerana hasil (kutipan tiket) berkurangan," katanya dalam ucapan perasmian projek perintis koc wanita MRT laluan Kajang di Stesen MRT, Bandar Tun Hussein Onn di sini, hari ini.

Loke berkata, beliau meminta supaya pengerusi dan ahli lembaga pengarah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersetuju dengan inisiatif ini sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) penting yang perlu ditunjukkan Prasaran, selari dengan hasrat dan prinsip Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu prinsip ihsan kepada golongan OKU.

Perkhidmatan percuma ini adalah penambahbaikan, berbanding pas konsesi sebelum ini yang menawarkan diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan untuk penumpang OKU.

Loke berkata, Rapid KL Dan Rapid Penang juga menyediakan perkhidmatan khusus untuk penumpang OKU yang dikenali sebagai Rapid Mobiliti yang melibatkan pemasangan lif hidraulik untuk membolehkan penumpang yang menggunakan kerusi roda menaiki kenderaan dengan mudah.

"Bagi mereka yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan ke hospital ataupun untuk rawatan secara berkala, (inisiatif) ini adalah sesuatu yang sangat baik dan bagi saya adalah satu inisiatif yang inovatif," katanya.

Loke berkata, pihak konsesi akan mengeluarkan kad perjalanan baharu khusus untuk pemegang kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Berita Harian X