Khamis, 21 Disember 2023 | 10:32am
Ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada perkembangan psikologi dan emosi remaja berusia 13 hingga 15 tahun elak potensi mereka terjejas. - Foto hiasan NSTP
Ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada perkembangan psikologi dan emosi remaja berusia 13 hingga 15 tahun elak potensi mereka terjejas. - Foto hiasan NSTP

Pakar kaunseling dakwa perkembangan psikologi remaja terbantut jika masuk asrama

KUALA LUMPUR: Perkembangan psikologi remaja berusia 13 hingga 15 tahun atau pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, boleh terbantut jika terpaksa tinggal dalam persekitaran baharu yang bermasalah.

Persekitaran baharu itu antaranya boleh membabitkan perbuatan buli dalam kalangan pelajar di asrama yang mampu membuatkan tahap psikologi remaja merudum teruk dengan kemungkinan gagal untuk bangun semula dan berdepan pelbagai masalah lain di alam dewasa.

Kaunselor keluarga, Dr Robiah K Hamzah, berkata psikologi remaja pada peringkat usia berkenaan akan sangat menderita sekiranya mereka terbabit dengan masalah dan sukar mendapat sokongan ahli keluarga terdekat yang tidak bersama.

"Apabila dibuli, psikologi mereka akan sangat menderita sehingga lambat untuk 'bangun' dan tidak berkembang seperti remaja biasa. Rata-rata pelajar Tingkatan 1, sememangnya berdepan masalah ini jika masuk asrama berbanding pelajar yang masuk asrama ketika Tingkatan 4.

"Ini memang berlaku, malah buli ini seakan tradisi sehingga anak ini sebenarnya sangat menderita dan hanya mahu bersama keluarga mereka. Dari segi psikologi, anak usia ini akan jadi begitu pendiam dan malu melalui zaman remaja mereka.

"Psikologi mereka akan rosak teruk kerana bukan setakat disuruh, contohnya untuk basuh baju sahaja, sebaliknya juga dibuli secara fizikal dan mental," katanya kepada BH, semalam.

Kaunselor keluarga, Dr Robiah K Hamzah. - Foto fail NSTP
Kaunselor keluarga, Dr Robiah K Hamzah. - Foto fail NSTP

Semalam, BH melaporkan remaja usia 13 hingga 15 tahun tidak sesuai untuk ditempatkan di sekolah berasrama penuh kerana mereka masih mentah dan belum bersedia dari segi psikologi untuk berdepan cabaran hidup.

Dirujuk 'usia emas', lingkungan umur berkenaan dikatakan tempoh remaja mengalami pelbagai perubahan fizikal, emosi dan psikologi dengan pakar pendidikan awal kanak-kanak menyifatkannya usia mengenali diri dan amat memerlukan bimbingan ibu bapa bagi membentuk dan memantapkan acuan diri.

Tahap mental, emosi berbeza

Robiah berkata, tahap mental dan emosi pelajar yang masuk asrama pada usia 13 tahun berbeza dengan pelajar yang masuk ketika usia 16 tahun.

"Mereka yang dibuli ketika usia 13 tahun akan mengalami masalah mental dan emosi yang teruk sehingga sukar untuk bangun semula. Ia menyebabkan kemahiran yang sepatutnya dibina pada usia-usia remaja juga akan sangat terjejas.

"Oleh demikian, saya lebih yakin sekiranya ibu bapa mahu anak mereka masuk asrama juga, masukkan anak itu semasa Tingkatan 4 ketika kematangan emosi mereka lebih meyakinkan berbanding di Tingkatan 1," katanya.

Beliau yang pernah menjadi tenaga pengajar dan warden asrama sekolah, mengakui pada tempoh usia 13 hingga 15 tahun, tempat paling sesuai adalah bersama keluarga dan bukannya berada di asrama dengan harapan dipantau oleh guru sekolah.

Katanya, peraturan sekolah atau arahan yang sudah ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebenarnya tidak menjamin dapat mengelak salah laku buli dalam kalangan pelajar kerana kawalan pihak sekolah bukan sepenuhnya.

"Guru dan warden tidak tinggal bersama mereka dan pelajar menghabiskan masa bersama rakan-rakan di asrama. Di situlah kehidupan yang terpaksa mereka tempuhi walaupun sudah ada peraturan yang ketat di sekolah.

"Kita juga tahu banyak isu yang perlu ditangani guru dan warden yang sibuk dengan pelbagai urusan. Peraturan itu sudah ada, tetapi pelaksanaannya sukar di asrama menyebabkan ada kes remaja dibuli dengan teruk," katanya.

Kaji semula objektif asrama

Bekas Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria, bersetuju tujuan utama anak dimasukkan ke asrama perlu dilihat semula oleh semua pihak, khususnya ibu bapa memandangkan objektif dan nilai sekolah berasrama tidak lagi seperti dulu.

Katanya, berbanding zaman lalu, sekolah asrama diwujudkan untuk menyediakan ruang persekitaran kondusif bagi kanak-kanak membesar berbanding keadaan di rumah, manakala sekarang, lebih ke arah mendapatkan keputusan akademik yang bagus.

"Jadi nilai sekolah berasrama ini tidak sama seperti dulu. Sekarang seolah-olah trend atau alma mater ibu-bapa. Ada anak-anak yang sebenarnya tidak mahu pun ke asrama kerana lebih selesa dan mampu mendapat peluang melalui hidup selesa di rumah.

"Situasi ini kadang-kadang membuatkan mereka memberikan masalah, bukan sahaja buli, malah masalah sekolah yang lain. Malah ada juga yang ke asrama kerana pengaruh rakan-rakan dan situasi ini juga menyumbang kepada terjadinya buli," katanya.

Pakar psikoterapi ini berkata, tiada guna ibu bapa menghantar anak ke asrama sekiranya mereka terganggu dengan tahap keselamatan di institusi itu.

"Ibu bapa perlu tahu, remaja pada usia sedemikian masih sedang mengenal diri dan tidak tahu ke mana meminta bantuan sekiranya berlaku ketidakadilan atau mereka perlu mempertahankan diri. Jika mereka sudah mengerti, kenal diri dan ada sikap kendiri, memang sesuai dihantar ke asrama," katanya.

Dalam kes buli di asrama, beliau berkata, pelajar yang menjadi saksi atau pemerhati perlu diberi perhatian dan dididik supaya mempertahankan rakan yang menjadi mangsa.

"Didik anak-anak ini untuk speak up (bersuara) kerana sikap berdiam diri ramailah, kes buli berterusan," katanya.


'Sentuhan' ibu bapa bentuk masa depan anak

Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) percaya 'sentuhan' ibu bapa ketika alam persekolahan remaja menjadi faktor kritikal dalam menjana pembangunan modal insan negara.

Presidennya, Prof Dr Ahmad Ismail, berkata nilai kehidupan rakyat Malaysia bergantung kepada hasil didikan dan bimbingan keluarga terdekat, khususnya ibu bapa yang sentiasa bersama dan memberi sokongan sepenuhnya ketika anak di usia awal remaja.

Prof Dr Ahmad Ismail. - Foto fail NSTP
Prof Dr Ahmad Ismail. - Foto fail NSTP

Beliau percaya usia 12 hingga 17 tahun adalah tempoh yang sangat kritikal untuk setiap anak mengenal diri dan nilai-nilai yang diperoleh itu akan dibawa hingga ke alam pekerjaan dan dewasa kemudiannya.

"Jadi, kami sokong pandangan pakar perkembangan kanak kanak dan remaja yang mengatakan, golongan usia itu memerlukan lebih sentuhan ibu bapa dan keluarga, selain sokongan komuniti sepanjang perkembangan mereka, berbanding berada di asrama bersama rakan sebaya.

"Jika umur 12 atau 13 tahun sudah masuk asrama dan usia 17 hingga 18 tahun baru keluar, mereka akan terlepas bimbingan orang terdekat, sekali gus nilai yang sepatutnya digunakan ketika dewasa dan alam pekerjaan tidak dapat disemai.

"Lebih membimbangkan, mereka yang melangkah ke alam universiti dan pekerjaan akan hilang sebahagian besar tradisi kehidupan bermasyarakat," katanya kepada BH sambil menambah sebahagian hasil program pendidikan negara selama ini dapat dilihat semua pihak sekarang.

Katanya, sebahagian remaja yang ditempatkan di asrama akan meneruskan pengajian peringkat tertinggi dan mungkin ke luar negara, namun mempersoalkan apakah nilai budaya dan kemasyarakatan yang mereka warisi.

"Hari ini juga, mereka sudah berada di peringkat pembuat dasar, pelaksanaan dasar kerajaan dan dalam badan korporat," katanya.

Berita Harian X