Khamis, 21 Disember 2023 | 7:35am

Senarai hitam ibu bapa tipu maklumat permohonan ke MRSM

PENDEDAHAN Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terdapat segelintir ibu bapa sanggup menipu pendapatan masing-masing supaya dikategorikan B40 bagi membolehkan anaknya diterima memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) membuktikan amalan itu bukan cerita rekaan.

Ia mendedahkan sisi gelap sikap dan pemikiran sebahagian ibu bapa berkemampuan atau berada dalam kategori M40 apatah lagi T20, sanggup berbuat apa saja demi memastikan anak mereka dapat memasuki MRSM, diketahui antara sekolah asrama berwibawa melahirkan pelajar pintar dan cemerlang akademik.

Golongan ibu bapa ini sanggup menipu kerana mahu merebut pelbagai insentif ditawarkan MARA kepada pelajar keluarga kategori B40 seperti bantuan pendidikan menerusi Program Pendidikan Budi MARA (BUDI MARA). Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang kesamarataan kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan terbaik di MRSM.

Pelajar yang terpilih dalam program Budi MARA akan menerima bantuan berbentuk wang tunai berjumlah RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian sekolah, pakaian harian, barang keperluan asrama, peralatan persekolahan, tambang perjalanan pulang cuti semester, yuran dobi, pakaian sukan, keperluan peribadi, wang saku sebanyak RM50 sebulan termasuk pengecualian membayar yuran caruman seperti dikenakan kepada setiap pelajar di MRSM.

Syarat kelayakan ditetapkan bagi penerima program ini adalah lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM, pendapatan isi rumah keluarga pelajar adalah RM1,500 dan keluarga mempunyai tanggungan lima orang dan ke atas. Atas faktor ini, ibu bapa sudah tentu mengharapkan anak mereka mendapat bantuan ini termasuk keluarga T20 dan M40.

Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Namun, seperti ditegaskan Asyraf Wajdi, perbuatan menipu maklumat keluarga ini semata-mata bagi membolehkan anak ditawar ke MRSM dan menerima bantuan khas sebenarnya murid terbabit belajar dalam keadaan tiada keberkatan kerana mengambil hak orang miskin lain.

Dari sudut lain, pendedahan Asyraf Wajdi ini menunjukkan MRSM sudah pun mengetahui ada ibu bapa memalsukan maklumat pendapatan. Semuanya berada dalam kocek MRSM. Namun, MRSM tidak mampu mengambil tindakan sewajarnya terhadap ibu bapa yang menipu ini.

Namun, isu ini perlu dijadikan iktibar kepada MARA bahawa mereka perlu meningkatkan lagi tahap keupayaan teknologi sistem tapisan permohonan dan kemasukan pelajar baharu dalam mengesan ketulenan serta keabsahaan maklumat pendapatan keluarga pemohon.

Berdasarkan maklumat direkod MRSM ini, ibu bapa yang dikesan menipu maklumat pendapatan mereka patut disenarai hitamkan dan disekat daripada membuat permohonan baharu sebagai langkah menjamin integriti proses kemasukan ke sekolah berkenaan.

MARA perlu bertegas untuk membendung perbuatan tidak bermoral ini kerana penipuan ibu bapa bukan sekadar menafikan hak golongan pelajar benar-benar layak, bahkan menjaga nama dan kredibiliti MRSM serta kualitinya melahirkan pelajar cemerlang akademik dan sahsiah sebagai pemimpin masa depan.

Berita Harian X