Rabu, 20 Disember 2023 | 8:55pm
Roti canai biasa dimakan untuk sarapan pagi dan dimakan bersama kuah termasuk kari, kuah dhal dan sambal, selain chutney atau susu pekat. - Foto hiasan
Roti canai biasa dimakan untuk sarapan pagi dan dimakan bersama kuah termasuk kari, kuah dhal dan sambal, selain chutney atau susu pekat. - Foto hiasan

Roti canai sekali lagi dinobatkan antara makanan terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Roti canai sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa, menduduki makanan kedua terbaik di dunia.

Panduan pengalaman perjalanan untuk makanan tradisional, TasteAtlas, melalui 100 Hidangan Terbaik dalam Anugerah Dunia 23/24 mereka, meletakkan hidangan sarapan pagi Malaysia yang popular itu di tempat kedua.

Mereka juga menamakan restoran Nasi Kandar Pelita, Tg's Nasi Kandar dan Sri Nirwana Maju bagi tempat yang mempunyai roti canai 'paling ikonik'.

Kepingan roti yang garing itu berada satu tempat di belakang 'picanha', sejenis potongan daging lembu Brazil, yang mendahului carta tahun ini.

Roti canai biasa dimakan untuk sarapan pagi dan dibuat dengan tepung, air dan telur.

Doh roti itu dilipat beberapa kali untuk membentuk lapisan, menghasilkan tekstur yang lembut dan gebu di bahagian dalam dan lapisan luar yang garing.

Terkenal dengan kepelbagaian padanan, roti canai boleh dimakan bersama kuah, termasuk kari, kuah dhal dan sambal, selain chutney atau susu pekat.

Ada juga yang lebih suka roti canai mereka digabungkan dengan bahan lain, seperti pisang, telur dan bawang.

Di tempat ketiga ialah hidangan tumis yang dipanggil 'phat kaphrao' dari Thailand, diikuti pizza napoletana dari Itali dan ladu 'guotie' dari China, masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Roti canai juga mendahului naan bawang putih mentega yang terkenal di India dan hidangan lain seperti sandwic Vietnam, 'banh mi thit' dan 'tonkotsu ramen' dari Jepun.

Pada September, TasteAtlas juga meletakkan roti canai sebagai roti terbaik dunia. Ia mengalahkan 49 jenis roti lain untuk dinobatkan sebagai 'Roti Terbaik di Dunia'.

Berita Harian X