Rabu, 20 Disember 2023 | 4:04pm
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Ada ibu bapa sanggup tipu, 'menyamar' B40 nak masukkan anak MRSM

KUALA LUMPUR: Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegur sikap segelintir ibu bapa yang sanggup menipu status pendapatan supaya dikategorikan sebagai B40, bagi membolehkan anak mereka diterima masuk ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)

Melalui satu muat naik di Facebook, Asyraf Wajdi turut mengingatkan bahawa tindakan itu menyebabkan anak mereka belajar dalam keadaan tiada keberkatan kerana mengambil hak orang miskin yang lain.

"Usahlah menipu pendapatan hanya untuk dikategorikan B40 supaya anak diterima MRSM.

"Kesian kepada anak-anak yang belajar dalam keadaan tiada keberkatan akibat mengambil hak orang miskin yang lain," katanya.

Status dimuat naik oleh Asyraf Wajid itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai dengan ada yang bersetuju dengan teguran itu, namun ada juga yang melihat sebaliknya.

Antara yang bersetuju termasuk pemilik akaun Facebook dengan nama Muhamad Mahyidin Ab Hamid.

"MRSM perlu kembali kepada asal tujuan penubuhannya iaitu menyediakan peluang belajar kepada golongan Melayu atau Bumiputera yang miskin luar bandar yang berpotensi.

"Namun begitu, beri juga peluang pelajar dari golongan yang dikatakan M20, T20 untuk belajar di MRSM dengan syarat mereka perlu membayar yuran yang berpadanan dengan pendapatan keluarga mereka," katanya.

Berbeza pandangan, Temah Temi melalui komennya berkata, "Pendapat saya seeloknya anak-anak golongan B40, M40 dan T20 kena bercampur dalam sekolah berasrama supaya dapat mendidik keterbukaan dalam pemikiran. Sekiranya label B40, M40 dan T20 diguna pakai, sepatutnya kuota kemasukan pun menggunakan nisbah yang sama iaitu 40:40:20. Harap sistem ini dapat diperbaiki."

Syamaizar Abu Bakar pula berkata, lebih baik MARA buka sahaja kepada semua golongan pendapatan Bumiputera dan cari solusi supaya semua boleh masuk berdasarkan prestasi.

"Pelajar keluarga berpendapatan rendah yang masuk dan berpendapatan tinggi diberi peluang yang sama mengikut kesesuaian dengan saluran sumbangan bayaran wakaf jika mampu.

"Wujudkan Wakaf MARA yang diurus baik boleh membantu mereka yang berpendapatan rendah untuk memohon bantuan pembelajaran di tempat lain atau duplikasi model MRSM di sekolah lain juga atau tambah lagi sekolah MRSM dengan wakaf MARA.

"Tambahan MRSM perlu pencetus pelbagai bahasa diajar, terutama bahasa Cina dan India sehingga boleh bertutur dan menulis asas. Jadi ada tambah nilai dan anak Melayu dapat bersaing lebih daripada lain," katanya.

Bagi Mohd Azman Shah, ada M40 yang sebenarnya lebih memerlukan berbanding B40.

"Sebagai contoh M40 yang ada anak lima orang lebih perlukan bantuan termasuk tempat di MRSM berbanding B40 yang anak satu atau dua orang. Adakalanya lebihan pendapatan RM10 je menyebabkan mereka tergolong dalam M40," katanya.

Tak Hirou Tak Berjasa pula memberi contoh MRSM Langkawi yang disifatkan beliau sememangnya disediakan untuk golongan T20.

"MRSM Langkawi memang untuk T20... mana ada sangat anak Langkawi masuk MRSM di situ. Kalau B40 lagi la kesian nak hadap tambang feri bagai, kat situ memang yang 'have-have' (anak orang berada) pun sebelum ni," katanya.

Dalam hantaran yang berasingan, Asyraf Wajdi berkata, kos seorang pelajar setahun untuk melanjutkan pengajian di MRSM ialah RM18,000 dengan matlamat penubuhan MRSM adalah untuk membantu pelajar luar bandar dan miskin mendapat pendidikan terbaik, manakala MARA menanggung pembiayaan mereka sepenuhnya.

"Dasar MARA ketika ini ialah 60 peratus pelajar MRSM terdiri daripada keluarga B40, miskin dan dari luar bandar.

"Apakah sudah tiba masanya untuk pelajar keluarga T20 yang mahu mendapatkan manfaat belajar dalam ekosistem MRSM membayar penuh kos ditanggung MARA?," soalnya.

Berita Harian X