Rabu, 20 Disember 2023 | 2:56pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Warga Pakistan didenda tawar khidmat kesihatan tanpa kelulusan KKM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Pakistan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret kerana menawarkan khidmat rawatan kesihatan tanpa sijil perakuan dan kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim memerintahkan Suhaib Jalal, 26, membayar denda itu selepas tertuduh didakwa menipu dengan menyamar sebagai pegawai perubatan di sebuah klinik swasta.

Noorelynna Hanim turut memerintahkan Suhaib dipenjara lapan bulan, jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa menyamar sebagai pegawai perubatan sehingga mendorong seseorang mempercayai dia mempunyai kelulusan menjalankan amalan perubatan di sebuah klinik swasta di Taman Maluri, pada jam 9 malam, 1 Disember lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam tertuduh, Tripatjit Singh, yang merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan, memberitahu mahkamah Suhaib yang juga graduan perubatan sebuah universiti di China, sudah direman selama 19 hari.

Bagaimanapun, katanya, tertuduh tidak mempunyai sijil pengesahan KKM untuk memberikan khidmat di negara ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan tidak mengulangi kesalahan.

Katanya, tertuduh perlu mematuhi undang-undang negara termasuk prosedur ditetapkan KKM.

Berita Harian X