Rabu, 20 Disember 2023 | 12:26am
(Gambar fail) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
(Gambar fail) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Anwar ucap tahniah kepada Abdel Fattah al-Sisi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Abdel Fattah al-Sisi yang berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden Mesir bagi penggal ketiga berturut-turut selepas Pilihan Raya Nasional di negara itu berakhir, kelmarin.

Dalam catatan di X, Perdana Menteri berharap kemenangan Al-Sisi akan mengeratkan lagi ikatan yang dikongsi antara kedua-dua negara serta rakyat.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada @AlsisiOfficial atas kemenangan beliau dalam pilihan raya sebagai Presiden Mesir.

"Semoga pencapaian ini dapat mengeratkan lagi ikatan yang dikongsi antara kedua-dua negara dan rakyat," katanya.

Kelmarin, Lembaga Pilihan Raya Nasional Mesir mengumumkan al-Sisi mengekalkan jawatan Presiden bagi penggal ketiga berturut-turut selepas meraih 89.6 peratus undi dalam pemilihan yang dibayangi perang di Gaza dan krisis ekonomi domestik.

Beliau berdepan tiga pencabar tanpa seorang pun yang berprofil tinggi.

Pemimpin itu kali pertama terpilih sebagai Presiden pada 2014, dan terus mempertahankan kedudukannya pada 2018 dengan meraih 97 peratus undi dalam kedua-dua pilihan raya itu.

Berita Harian X