Selasa, 19 Disember 2023 | 11:19pm
(Gambar fail) Foto hiasan
(Gambar fail) Foto hiasan

Pesta Buku Antarabangsa KL 2024 bakal tawar 969 reruai

KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) edisi 2024 bakal menawarkan sebanyak 969 reruai atau ruang pameran, meningkat sebanyak 11.7 peratus berbanding 823 reruai dalam penganjuran tahun ini.

Jawatankuasa Pengelola PBAKL dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan kelebihan penempahan secara pukal juga disediakan kepada semua pemain yang bersedia.

"Faktor logistik susunan reruai antara lain memerlukan pihak pengurusan mengutamakan tempahan bilangan yang banyak dalam menyusun atur dewan," katanya.

Katanya, PBAKL kali ke-41 itu dilihat akan terus berupaya menjadi jenama yang kuat dan mampu menarik jutaan pengunjung dalam masa 10 hari penganjuran kelak.

Justeru, beberapa penambahbaikan mahupun pengekalan strategi dilaksanakan sempena penganjuran itu nanti bagi memastikan kelicinan pengurusan.

Antaranya, Jawatankuasa Pengelola PBAKL akan mengadakan regulasi lebih kemas, terutama berkaitan bilangan minimum, saiz, ketinggian dan pemilihan lokasi pada masa akan datang.

"Regulasi ini akan disebarluaskan kepada pemain industri bagi memastikan kesamarataan peluang kepada semua," menurut kenyataan itu sambil memaklumkan pihak jawatankuasa akan menyusun semula susun atur Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi PBAKL 2024.

Justeru, katanya, kesemua pemain industri yang masih belum mendapat reruai, akan disantuni dan berpeluang membuat tempahan dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak jawatankuasa juga akan memastikan sebarang maklumat terkini berkaitan harga, saiz, tarikh pembelian awal dan sebagainya, terus dihebahkan melalui satu medium rasmi saja.

"Selain itu, memastikan kemapanan program ini pada masa hadapan, terutama menggunakan strategi promosi media cetak dan elektronik yang berkesan demi menarik khalayak yang ramai dan berkualiti, dengan mengekalkan bayaran penuh ketika tempahan.

"Jawatankuasa Pengelola PBAKL juga sedang meneliti potensi pendigitalan tempahan reruai yang bersifat lebih terbuka, telus dan mampu menyelesaikan isu-isu berbangkit tahun ini. Sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk bagi tujuan ini. Pendigitalan tempahan reruai ini akan dirintis dan dijangka dapat diperkenalkan pada PBAKL 2025," katanya.

Katanya, ruang dan peluang akan terus dibuka kepada semua pemain industri supaya dapat bersiap siaga pada tahap maksimum dalam masa lima bulan akan datang, bagi memastikan jualan memberangsangkan, di samping pemain industri memanfaatkan pengenalan produk perbukuan baharu dan berkualiti.

Berita Harian X