Selasa, 19 Disember 2023 | 6:36pm

UA diarah banyakkan kursus jangka pendek

SEPANG: Universiti Awam (UA) digalakkan untuk menjadi penyedia kursus jangka pendek bagi menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), selain mampu menambah pendapatan institusi masing-masing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, permintaan global terhadap kursus jangka pendek sememangnya tinggi malah universiti terkemuka dunia seperti Universiti Harvard juga giat menawarkannya.

Katanya, penawaran kursus jangka pendek ini juga boleh dijalankan bersama antara UA dengan kementerian lain mengikut bidang tujahan (niche) masing-masing.

"Kini, kerjasama silang bidang, silang kepakaran dan silang kementerian perlu dilakukan supaya mampu menghasilkan kerjasama yang efisien.

"Selain itu, kursus jangka pendek ini juga boleh ditawarkan kepada pelajar antarabangsa dan usaha ini pastinya mampu menjadi tarikan pelajar luar untuk menyambung pengajian di Malaysia seterusnya menjadikan negara ini hab pendidikan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika perjumpaan bersama pengurusan tertinggi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersempena sesi lawatannya ke Mercu MQA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Pada pertemuan itu, Zambry berkesempatan mendengar taklimat daripada pengurusan tertinggi MQA berkenaan peranan, inisiatif dan cabaran agensi itu dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terus berada pada landasan yang tepat.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, UA juga digalakkan menjadi Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Katanya, inisiatif itu bagi memberi peluang kepada masyarakat yang tidak mempunyai kelayakan konvensional untuk menyambung pengajian yang diidamkan dalam bidang masing-masing.

"Hingga kini, terdapat tiga jenis APEL diperkenalkan MQA iaitu APEL A untuk akses kemasukan ke institusi pengajian tinggi, APEL C bagi pemindahan kredit dan APEL Q untuk penganugerahan terus berdasarkan pengalaman pemohon," katanya.

Berita Harian X