Selasa, 19 Disember 2023 | 5:22pm
Antara mangsa penipuan skim pelaburan menggesa Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) mengambil tindakan terhadap tiga syarikat pelaburan yang didakwa menipu. - NSTP/MOHD ISKANDAR IBRAHIM
Antara mangsa penipuan skim pelaburan menggesa Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) mengambil tindakan terhadap tiga syarikat pelaburan yang didakwa menipu. - NSTP/MOHD ISKANDAR IBRAHIM

Ditipu tiga syarikat pelaburan, mangsa lapor NFCC

PUTRAJAYA: Kira-kira 500 mangsa penipuan tampil membuat aduan dan laporan kepada Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) hari ini, selepas mendakwa tiada tindakan diambil pihak berkuasa ke atas tiga syarikat pelaburan.

Kumpulan yang dibawa oleh Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) itu mahu siasatan segera dilakukan bagi membolehkan syarikat berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata mangsa sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga syarikat terbabit dikatakan belum dikenakan tindakan selain mendakwa ada beberapa kes membabitkan mangsa dikategori sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

"Bulan lalu, mangsa dimaklumkan oleh SSM aduan dibuat sudah dilengkapkan dan kertas siasatan dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini, belum ada pendakwaan dibuat ke atas syarikat berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, kes penipuan terbabit berlarutan sejak 2021 dan selain kehilangan wang pelaburan, ada mangsa menanggung hutang kerana meminjam wang untuk melabur.

Katanya, mangsa hanya mahukan keadilan dan siasatan perlu dilakukan ke atas syarikat pelaburan yang mendalangi skim penipuan.

Seorang mangsa berusia 50-an yang enggan dikenali mendakwa kerugian RM150,000 selepas terpengaruh melabur dengan syarikat berkenaan.

"Sudah banyak kali saya bersama mangsa lain membuat laporan dan aduan, namun belum ada tindakan dikenakan ke atas syarikat terbabit.

"Saya melabur sebab syarikat ini dilihat mengikut prosedur, malah mereka berdaftar dengan SSM dan sebagainya," katanya.

Seorang lagi mangsa mendakwa kerugian hampir RM20,000 selepas melabur dengan syarikat yang diperkenalkan melalui ejen pelaburan.

Lelaki berusia 57 tahun itu terpengaruh dengan skim pelaburan terbabit selepas diyakinkan ia berkonsepkan boleh tebus Islamik.

"Saya sempat menerima pulangan keuntungan RM500 setiap bulan selama setahun. Selepas kontrak pelaburan tamat, saya minta tebus semula dan tidak mahu menyambung kontrak.

"Syarikat dakwa dah tebus semula pelaburan saya tetapi tak pulangkan duit pelaburan sehingga kini. Apabila saya hubungi syarikat, pelbagai alasan diberi termasuk meminta saya bersabar," katanya.

Berita Harian X