Selasa, 19 Disember 2023 | 10:53am

Misteri batu susun di Balik Pulau

BALIK PULAU: Kewujudan berpuluh struktur susunan batu pelbagai saiz, antaranya membentuk tembok sepanjang lebih 20 meter di Kampung Sungai Rusa di sini, menimbulkan persoalan sama ada kawasan itu mungkin pernah menjadi petempatan manusia zaman prasejarah.

Penduduk sudah lama menyedari kawasan itu, terutama lereng bukit dipenuhi struktur terbabit, namun sehingga kini, belum ada mana-mana pihak berminat menjalankan kajian.

Naib Pengerusi Pertubuhan Penggerak Seni Warisan (PPSW) Balik Pulau, Mohd Firdaus Ahmad, berkata struktur berkenaan berketinggian sekitar satu meter, kebanyakannya di lereng bukit, termasuk sekitar Bukit Laksamana berdekatan Teluk Bahang.

"Ada juga bersebelahan jalan ke Sungai Pinang, Balik Pulau dan di Sungai Batu Hampar Tengku Jalil di sini. Ada antara susunan batu berkenaan dalam bentuk seperti tangga, seolah-olah dipahat, malah kami juga turut menemukan lesung batu yang dipercayai digunakan untuk menumbuk padi," katanya.

Mohd Firdaus turut mendedahkan penemuan ratusan serpihan mangkuk dan piring porselin lama di sekitar kawasan binaan batu berkenaan, yang dijadikan simpanan keluarga serta diwarisi turun-temurun, termasuk ada dikatakan berasal dari Dinasti Ming.

Ratusan serpihan mangkuk dan piring porselin lama ditemukan oleh Pertubuhan Penggerak Seni Warisan (PPSW) Balik Pulau di sekitar struktur susunan batu. - NSTP/DANIAL SAAD
Ratusan serpihan mangkuk dan piring porselin lama ditemukan oleh Pertubuhan Penggerak Seni Warisan (PPSW) Balik Pulau di sekitar struktur susunan batu. - NSTP/DANIAL SAAD

Justeru, pihaknya berharap pakar, terutamanya dalam bidang arkeologi dapat menjalankan kajian, sekali gus merungkai sejarah dan fungsi struktur berkenaan serta mengesahkan sejauh mana ia mempunyai nilai sejarah.

"Amat sayang jika ia hanya dilihat sebagai tembok susunan batu semata-mata. Mungkin ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan jika dikaji secara lebih mendalam, terutamanya dalam aspek sejarah ketamadunan manusia.

"Jika benar ia mempunyai nilai sejarah, kami harap kawasan berkenaan diwartakan segera sebagai tapak warisan dan dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Dulu, ada yang cuba menjadikannya tempat pemujaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Batu Permata Fosil dan Mineral Malaysia, Dr Hisham Hashim, berkata hasil pemerhatian awal mendapati teknik susunan batu berkenaan menarik untuk dikaji memandangkan saiz, bentuk dan berat setiap batu berbeza.

Beliau menjangka usia struktur berkenaan mungkin lebih tua daripada tamadun manusia Lembah Bujang yang sudah mempunyai teknologi menghasilkan batu-bata.

"Binaan di Balik Pulau hanya menggunakan batu asal yang diperoleh dari kawasan sekitar termasuk diambil dari sungai berdekatan. Susunan batunya itu dan teknik yang digunakan menarik untuk dikaji kerana pasti ramai tertanya-tanya bagaimana manusia ketika itu angkat batu yang berat, susun atas bukit. "Strukturnya pula masih stabil dan kukuh sehingga kini. Selain itu, terdapat batu-batu bersaiz lebih kecil disusun di antara batu besar, menjadikannya seimbang. Lagipun, bahan binaan utamanya guna batu sungai, jenis batu hidup yang membuatkan susunan jadi lebih rapat seiring peredaran masa," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (PPAG-USM), Dr Nasha Rodziadi Khaw, berkata pihaknya mampu menafsir fungsi tapak berkenaan sekiranya kerja-kerja peninjauan awal dilakukan di lokasi terbabit.

"Apabila ada penemuan-penemuan sedemikian (struktur susunan batu dan porselin) sudah semestinya wujud potensi bahawa tempat berkenaan pernah didiami manusia purba. Bagaimanapun, penyelidikan perlu kebenaran pihak Jabatan Warisan Negara," katanya.

Struktur susunan batu di salah satu lokasi di Balik Pulau, menimbulkan tanda tanya sama ada kawasan itu pernah menjadi petempatan manusia awal. - NSTP/DANIAL SAAD
Struktur susunan batu di salah satu lokasi di Balik Pulau, menimbulkan tanda tanya sama ada kawasan itu pernah menjadi petempatan manusia awal. - NSTP/DANIAL SAAD
Berita Harian X