Selasa, 19 Disember 2023 | 7:37am
M Daud Kilau meninggal dunia petang semalam.
M Daud Kilau meninggal dunia petang semalam.

M Daud Kilau berjiwa besar - Ahmad Zahid

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan takziah kepada keluarga penyanyi, Datuk M Daud Kilau.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyifatkan Allahyarham sebagai permata seni tanah air yang cukup berbakat dan berjiwa besar.

"Malaysia kehilangan seorang lagi permata seni tanah air, Allahyarham Datuk M Daud Kilau yang cukup berbakat dan berjiwa besar.

"Sebagai anak jati Bagan Datuk, karya seni beliau bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat di sini, tetapi juga di seluruh negara.

"Kehilangan beliau suatu yang mengejutkan dan tiada ganti," katanya.

Beliau juga mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

"Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga tabah menghadapi ujian ini," katanya.

Juara Pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori nyanyian asli 1985 itu dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pada 12 Disember lalu selepas mengadu sakit kepala yang teruk.

Negara dikejutkan dengan pemergian penyanyi lagu malar segar Cek Mek Molek itu jam 4.46 petang Isnin di sisi ahli keluarga semasa menerima rawatan di hospital berkenaan.

Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Balai Baroh selepas zohor, hari ini.

Berita Harian X