Isnin, 18 Disember 2023 | 5:56pm

Pengantin baharu maut nahas selepas pulangkan busana raja sehari

SUNGAI BESAR: Selepas hanya sehari bergelar pengantin pada Sabtu lalu, Norsyam Nasullah Rahim maut apabila kereta dinaiki bersama isterinya terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kilometer 53 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Batu 3, Jalan Bernam, Tanjong Karang, malam tadi.

Insiden kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika Norsyam Nasullah, 23, dan pasangannya, Aini Hayati Mohd Radzi, 22, dalam perjalanan pulang ke Sungai Besar selepas menghantar busana pengantin yang disewa mereka ke sebuah butik di Kuala Lumpur pada hari sama.

Kejadian berkenaan yang membabitkan kereta jenis Perodua Bezza dinaiki pasangan pengantin baharu itu dengan Nissan Almera serta Honda City, turut menyebabkan Aini Hayati patah kaki kiri dan cedera di dagu.

Abang Aini Hayati, Muhd Aiman, 25, berkata keluarga meraikan hari perkahwinan pasangan itu di Dewan Seri Bernam, di sini, sebelum pengantin baharu berkenaan terbabit nahas pada keesokannya.

Katanya, beliau dan keluarga mendapat maklumat berhubung kemalangan itu melalui laman Facebook, selain dihubungi rakan Aini Hayati yang turut memaklumkan perkara sama.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kajang dan sudah sampai di Sungai Buloh. Susulan itu, saya segera patah balik dan bergegas ke Hospital Tanjong Karang.

"Pihak hospital kemudian memaklumkan bahawa suami adik telah meninggal dunia, manakala adik pula dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Kampung Tersusun, Bagan Sungai Burong, di sini, hari ini.

Muhd Aiman berkata, Allahyarham Norsyam Nasullah yang baru dikenalinya selepas bertunang dengan Aini Hayati, tahun ini, adalah seorang yang pemalu tetapi baik dan peramah.

"Saya terkejut dengan kemalangan itu tetapi ia sudah ketentuan Allah SWT. Jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Hospital Tanjong Karang sebelum dibawa pulang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang, untuk dikebumikan," katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung nahas terbabit pada jam 10.05 malam tadi.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi kejadian yang menyaksikan seorang maut dan lapan lagi cedera.

Mereka cedera termasuk seorang individu awam, Mohd Azizi Faez Mohamad Alias, 33, yang dilaporkan parah akibat dilanggar Nissan Almera ketika membantu mangsa kemalangan Perodua Bezza dan Honda City.

"Menurut laporan awal, nahas itu membabitkan kereta Perodua Bezza, Nissan Almera dan Honda City. Semua mangsa yang cedera dibantu orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa pula mengesahkan kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Bezza terbabit memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Honda City.

"Hasil siasatan mendapati pemandu Perodua Bezza dari arah Klang menuju ke arah Teluk Intan dipercayai gagal mengawal kenderaannya menyebabkan kereta itu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan Honda City.

"Akibat perlanggaran itu, Perodua Bezza terbalik dan masuk ke lorong kanan jalan. Pada masa sama, datang Nissan Almera yang gagal mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perlanggaran itu juga mengakibatkan Perodua Bezza terseret sejauh kira-kira 11 meter dan pemandunya mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemandu Honda City membabitkan seorang wanita berusia 30-an pula patah kaki kanan, manakala lelaki berumur 50-an yang memandu Nissan Almera pula hanya cedera ringan.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muhd Aiman kongsikan gambar Allahyarham Norsyam Nasullah bersama Aini Hayati pada hari perkahwinan mereka. - NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Muhd Aiman kongsikan gambar Allahyarham Norsyam Nasullah bersama Aini Hayati pada hari perkahwinan mereka. - NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Berita Harian X