Isnin, 18 Disember 2023 | 12:13pm
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LDHN), Datuk Abu Tariq Jamaluddin dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa semalam.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LDHN), Datuk Abu Tariq Jamaluddin dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa semalam.

Abu Tariq CEO baharu LHDN

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Datuk Abu Tariq Jamaluddin dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa semalam.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Nizom Sairi yang tamat tempoh kontrak perkhidmatannya pada 16 Disember selepas berkhidmat selama 38 tahun di LHDN dan menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.

Antara sumbangan signifikan Mohd Nizom ialah memperkenalkan konsep 'AES' (awareness, education and services) bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan di LHDN, untuk membina kembali kepercayaan masyakarat terhadap sistem percukaian langsung negara.

Di bawah teraju beliau juga, LHDN merekodkan pencapaian kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah negara pada 2022, iaitu RM175.4 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, LHDN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Nizom atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat, selain ucapan syabas dan tahniah atas pelantikan Abu Tariq.

Abu Tariq lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Dengan Kepujian (LLB. Hons) dari Universiti Malaya (UM), mula berkhidmat di LHDN pada 15 Mac 1995 dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang percukaian langsung merangkumi perundangan dan pematuhan cukai.

Sebelum menjawat portfolio Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), beliau memegang beberapa jawatan penting di LHDN, antaranya Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) dan Pengarah Jabatan Undang-Undang. - BERNAMA

Berita Harian X