Ahad, 17 Disember 2023 | 10:23pm
Air Kelantan Sdn Bhd mengambil tindakan segera dengan menempatkan dua tangki statik di PPS SK Sri Rantau 2, petang tadi, selepas mendapat aduan berhubung ketiadaan bekalan air bersih. - Foto NSTP/ Ihsan AKSB
Air Kelantan Sdn Bhd mengambil tindakan segera dengan menempatkan dua tangki statik di PPS SK Sri Rantau 2, petang tadi, selepas mendapat aduan berhubung ketiadaan bekalan air bersih. - Foto NSTP/ Ihsan AKSB

AKSB tempatkan dua unit tangki statik di PPS SK Sri Rantau 2 atasi masalah bekalan air bersih

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil tindakan segera dengan menempatkan dua tangki statik di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau 2, petang tadi, selepas mendapat aduan berhubung ketiadaan bekalan air bersih.

AKSB menerusi kenyataan media berkata, tangki statik berkenaan ditempatkan di sekolah berkenaan petang tadi iaitu beberapa jam selepas kisah kesulitan yang dihadapi lebih 1,100 mangsa banjir di PPS berkenaan disiarkan oleh NSTP.

"Susulan laporan berita mengenai masalah di PPS berkenaan disiarkan, pihak AKSB mahu menjelaskan SK Sri Rantau 2 terletak di penghujung Tangki Gual Tok Deh, dan sekolah ini menggunakan air boring sebagai sumber utama bekalan air di sekolah itu.

"Perbincangan bersama sudah dibuat antara pihak AKSB dan wakil Jabatan Kebajikan Melasyarakat (JKM) serta wakil SK Sri Rantau 2 petang tadi.

"AKSB bersetuju untuk menempatkan dua unit tangki statik berkapasiti 500 gelen setiap satu bagi membantu penghuni PPS SK Sri Rantau 2 mendapat kemudahan bekalan air bersih sepanjang mereka ditempatkan di sana.

"Lokasi tangki statik akan diletakkan di dalam kawasan SK Sri Rantau 2 dan penghantaran hanya boleh dilakukan oleh lori tangki AKSB sahaja memandangkan laluan ke sekolah ituditenggelami air," katanya.

Terdahulu, NSTP melaporkan, seramai 1,190 mangsa banjir membabitkan 409 keluarga yang berada di PPS SK Sri Rantau 2 di sini berdepan kesulitan susulan ketiadaan bekalan air bersih di pusat berkenaan sejak ianya dibuka kelmarin.

Mereka mendakwa, disebabkan masalah berkenaan mereka terpaksa mandi menggunakan air banjir di depan PPS berkenaan selain terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan anak-anak mereka selain untuk solat.

Mangsa banjir turut mendakwa, sehingga kini tiada bekalan air yang dihantar oleh AKSB dan masalah berkenaan berlaku saban tahun setiap kali sekolah ini dibuka untuk PPS.

Berita Harian X