Ahad, 17 Disember 2023 | 10:06pm
Anwar dan isteri, Dr Wan Azizah bersama pemimpin ASEAN dan pelajar dari negara ASEAN serta Jepun secara simbolik melepaskan tanglung yang menyaksikan Menara Tokyo bermandikan cahaya warna-warna ASEAN. - Foto Bernama
Anwar dan isteri, Dr Wan Azizah bersama pemimpin ASEAN dan pelajar dari negara ASEAN serta Jepun secara simbolik melepaskan tanglung yang menyaksikan Menara Tokyo bermandikan cahaya warna-warna ASEAN. - Foto Bernama

PM dan isteri hadiri upacara prapencahayaan di menara Tokyo

TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri upacara prapencahayaan yang berlangsung di tingkat 33 dan 34 di Azabudai Hills, sebuah perkampungan moden yang terdiri daripada tiga bangunan pencakar langit.

Acara itu berlangsung dengan beberapa pemimpin ASEAN dan isteri masing-masing dengan diiringi pelajar dari ASEAN dan Jepun, yang secara simbolik melepaskan tanglung di dalam tingkat terbabit selepas 6 petang.

Momen bersejarah ini turut disusuli lagu rasmi ASEAN dan pengiraan detik, dengan acara kemuncak yang menyaksikan Menara Tokyo bermandikan cahaya warna-warna ASEAN.

Usai sesi bergambar kenangan, para pemimpin terbabit dengan pasangan masing-masing menghadiri majlis makan malam di Hotel Okura di mana Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun berlangsung siang tadi.

Majlis makan malam itu menjadi acara kemuncak persidangan yang berlangsung hari ini dan esok, pemimpin ASEAN akan menyertai program terakhir anjuran tuan rumah iaitu Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Emisi Jepun-ASEAN (AZEC).– BERNAMA

Berita Harian X