Ahad, 17 Disember 2023 | 9:52pm
Ismanira Abdul Manaf, 28, memuat naik luahan hatinya itu di akaun Instagram hari ini.
Ismanira Abdul Manaf, 28, memuat naik luahan hatinya itu di akaun Instagram hari ini.

'Semoga Allah beri kita kesabaran, pertolongan-Nya' - Ibu Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR: Ibu kanak-kanak lelaki autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, memohon kesabaran dan pertolongan Allah berhubung kes pembunuhan anaknya itu.

Ismanira Abdul Manaf, 28, memuat naik luahan hatinya itu di akaun Instagram hari ini.

"Semakin kamu besarkan sabarmu, maka semakin besar Allah siapkan kebahagiaan untukmu.

"Semoga Allah memberi kita kekuatan dan kesabaran serta pertolongan-Nya. Aamiin aamiin Ya Rabb Ya Mujib," tulisnya.

Memasuki hari ke-11 kes pembunuhan Zayn Rayyan hari ini, sepasukan forensik masih menjalankan siasatan di lokasi dengan tumpuan dilihat terarah pada Blok R, lokasi terakhir Zayn Rayyan dilihat sebelum dilaporkan hilang.

Pasukan yang tiba 3 petang menumpukan siasatan di rumah tidak berpenghuni di blok itu bagi mencari bukti baharu.

Difahamkan, lebih 40 rumah tidak berpenghuni di blok terbabit dan polis memeriksa tujuh daripada rumah terbabit, bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada pasukan terbabit menemukan bukti baharu untuk kes itu.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan dilaporkan berkata, setakat ini polis belum menemui petunjuk kukuh bagi mencari pembunuh kanak-kanak terbabit.

Beliau dilaporkan berkata, operasi mencari bukti masih diteruskan di sekitar lokasi dan tiada mana-mana individu boleh dikaitkan dalam kes bunuh kanak-kanak terbabit.

Berita Harian X