Ahad, 17 Disember 2023 | 6:49pm
Orang ramai mengambil kesempatan bermain banjir di jalan utama ke Pekan Rantau Panjang. Puluhan gerai makan turut dibuka di bahu jalan sejak Jumaat lalu. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Orang ramai mengambil kesempatan bermain banjir di jalan utama ke Pekan Rantau Panjang. Puluhan gerai makan turut dibuka di bahu jalan sejak Jumaat lalu. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pekan Rantau Panjang jadi tumpuan 'pesta air' kerana banjir

RANTAU PANJANG: Banjir seringkali dikaitkan dengan bencana, namun ada segelintir melihatnya dari sudut berbeza termasuk menyambutnya seperti peluang untuk 'berpesta air'.

Senario ibarat pesat itu dapat dilihat di jalan utama menuju pekan Rantau Panjang berdekatan sebuah stesen minyak, di sini, apabila kanak-kanak mengambil peluang bermain air banjir yang menenggelami jalan.

Malah tinjauan juga mendapati, puluhan gerai makan yang kebanyakannya menjual air, sate ikan, sosej bakar dan aiskrim turut dibuka di bahu jalan sejak kelmarin.

Kewujudan peniaga itu dikatakan berpunca kehadiran pengunjung termasuk dari luar daerah sejak kelmarin, rata-ratanya untuk melihat suasana banjir.

Peniaga, Ahmad Sukari Mohamad, 39, berkata dia mengambil peluang berniaga sate ikan dan sosej bakar sejak petang kelmarin selepas melihat beberapa peniaga membuka gerai.

"Keadaan di sini sangat meriah terutama petang semalam sehinggakan barang jualan habis dalam tempoh dua jam sahaja.

"Di sini setiap kali banjir memang menjadi tumpuan orang ramai... peniaga pula akan mengambil peluang untuk berniaga.

"Suasana memang meriah bagaikan taman tema air dengan ramai kanak-kanak mandi walaupun air hanya pada paras betis (kira-kira 0.2 meter).

"Alhamdulillah ada hikmah juga (di sebalik bencana banjir) untuk peniaga seperti kami kerana jualan sangat laris berbanding sebelum ini saya berniaga masuk ke kampung-kampung," katanya ketika.

Pengunjung yang mahu dikenali Rahmat, 42, berkata dia mula datang ke sini hari ini selepas melihat foto kemeriahan yang tular di lokasi ini semalam.

"Saya tinggal di Kota Bharu dan melihat gambar yang tular menyebabkan saya datang bersama isteri dan anak-anak untuk melihat suasana banjir.

"Bila datang sendiri di sini memang meriah dengan melihat kanak-kanak mandi, banyak gerai berniaga dan kita sendiri boleh makan dalam keadaan kaki dalam air," katanya.

Berita Harian X