Ahad, 17 Disember 2023 | 3:29pm

Polis teruskan siasatan hari ke-11 kes bunuh Zayn Rayyan

PETALING JAYA: Polis meneruskan siasatan hari ke-11 di lokasi kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, hari ini.

Sepasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat tiba di lokasi kejadian jam 9.30 pagi tadi, dipercayai bagi mengesan bukti baharu sebelum ditangguhkan pada jam 12.30 tengah hari.

Difahamkan, ia disambung semula pada jam 3 petang.

Siasatan hari ke-11 dilihat masih bertumpu di Blok R iaitu lokasi terakhir Zayn Rayyan dilihat sebelum dilaporkan hilang.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata, proses mengesan bukti giat dijalankan terutama di kawasan blok kediaman mangsa.

"Kita sudah merakam keterangan 172 orang membabitkan ibu bapa, saksi, jiran dan penduduk sekitar," katanya.

Kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan hari ke-11 mencari bukti baharu siasatan kes bunuh Zayn Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan hari ke-11 mencari bukti baharu siasatan kes bunuh Zayn Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X