Ahad, 17 Disember 2023 | 1:29pm
Kampung Kedai Lama yang ditengelami banjir kesan limpahan air Sungai Golok. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kampung Kedai Lama yang ditengelami banjir kesan limpahan air Sungai Golok. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Mangsa bah mandi, berwuduk guna air banjir, tadah hujan

RANTAU PANJANG: Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau 2, di sini yang dijadikan pusat pemindahan sementara menempatkan 1,190 penduduk mengalami masalah bekalan air bersih, menyebabkan rata-rata mangsa banjir terpaksa bergantung kepada air bah dan hujan untuk mandi dan berwuduk.

Penduduk mendakwa, mereka terpaksa menggunakan air banjir di hadapan PPS berkenaan dan menadah air hujan untuk kegunaan anak-anak serta berwuduk berikutan tiada bekalan air bersih dihantar syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Mereka juga mendakwa masalah itu berlaku saban tahun setiap kali PPS berkenaan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir, terbaru pada Jumaat lalu bagi menempatkan penduduk daripada 409 keluarga yang terpaksa dipindahkan.

Penduduk dari Kampung Kedai Lama, Syamimi Natasha Abdullah, 26, berkata walaupun kebersihan air banjir diragui atau kotor, mereka terpaksa menggunakannya kerana bekalan air di PPS berkenaan tidak pernah ada sejak dia berpindah.

"Bayangkan seawal jam 5 pagi lagi saya bersama beberapa penduduk lain sudah bangun untuk mandi di depan PPS yang dinaiki air 0.2 meter. Kami terpaksa bangun dan mandi awal kerana malu dengan yang lain. Beginilah yang perlu dilalui sejak berpindah ke sini tiga hari lalu, saya sudah lali dengan keadaan ini.

"Pada masa sama, terpaksa menadah air hujan untuk memandikan anak yang masih kecil. Anak saya berusia setahun dan saya bimbang air banjir menyebabkan badan anak gatal," katanya ketika ditemui hari ini.

Penduduk, Ainin Musa, 54, berkata masalah itu menyebabkan dia terpaksa keluar dari PPS setiap kali mahu mandi, pulang sebentar ke rumah sendiri atau kediaman saudara mara untuk menumpang membersihkan badan.

"Saya tak sanggup mandi air banjir. Masalah ini sudah diajukan kepada petugas, namun mereka tak mampu buat apa-apa. Justeru kami berharap AKSB tampil menghantar bekalan air ke PPS ini, yang menempatkan mangsa banjir paling ramai di Rantau Panjang berbanding PPS lain," katanya.

Seorang lagi penduduk kampung sama, Farah Nadira Sakira Abdullah, 33, berharap AKSB simpati dengan nasib mangsa banjir di PPS itu yang berdepan kesulitan berkenaan, terutama ketika mahu menggunakan tandas.

"Kasihan kami terpaksa mandi guna air banjir yang sudah semestinya tak bersih. Waktu malam pun kami terpaksa ambil air jika mahu ke tandas. Ini bukan isu baharu, tak sepatutnya masalah ini dibiarkan berlarutan.

"Di PPS ini ada beberapa tandas, adakala tandas guru ada air, namun jumlah mangsa banjir terlalu ramai, sudah tentu tak mampu tampung semua," katanya.

BH cuba mendapatkan penjelasan AKSB, namun belum menerima sebarang maklum balas setakat ini.

Berita Harian X