Ahad, 17 Disember 2023 | 11:18am
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kanan) melakukan simbolik perasmian Mural Evolusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) di Tembok Balai Polis Melaka Tengah di Jalan Mahkamah, malam tadi. Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman (kiri). - BERNAMA

Pertunjukan bunga api, aksi artis terkenal isi sambutan ambang tahun baharu, pelancaran TMM2024

MELAKA: Kira-kira 15,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan sambutan Ambang Tahun Baharu dan pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) yang akan berlangsung di Dataran Pengkalan Rama, pada 31 Disember ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan bunga api, persembahan kesenian dan kebudayaan serta artis terkenal tanah air diadakan pada sambutan dan pelancaran TMM 2024 yang dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Berdasarkan tinjauan yang saya lakukan petang tadi ke Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), saya lihat kesemua bot yang menelusuri Sungai Melaka telah berwajah baharu dengan penaja berlainan mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka, sekali gus menarik perhatian pengunjung atau pelancong.

"Setakat hari ini, saya lihat persiapan bagi sambutan kedua-dua acara ini telah mencapai tahap 50 peratus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mural Evolusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena TMM 2024 di Tembok Balai Polis Melaka Tengah di Jalan Mahkamah, di sini malam tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.

Mural Evolusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghiasi Tembok Balai Polis Melaka Tengah di Jalan Mahkamah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024). - BERNAMA
Mural Evolusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghiasi Tembok Balai Polis Melaka Tengah di Jalan Mahkamah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024). - BERNAMA

Mural sepanjang 80.19 meter dan tinggi 3.34 meter itu berkonsepkan perubahan tiga era PDRM dari 1950, 2000 dan 2020.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi MBMB dan PDRM akan bekerjasama menambah baik sistem penyuraian trafik, termasuk laluan kontra di sekitar Banda Hilir, khususnya pada hari pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan setiap Sabtu.

Menurutnya, beberapa jalan juga sedang dikenal pasti dijadikan laluan kontra sebagai alternatif penyuraian trafik agar kesesakan lalu lintas dapat diatasi dengan lebih baik dan tidak menyusahkan pelancong serta pengguna jalan raya lain. – BERNAMA

Berita Harian X