Sabtu, 16 Disember 2023 | 10:11pm

IOI Mall Puchong dilanda banjir kilat

KUALA LUMPUR: Laluan Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP) berhampiran pusat beli-belah IOI Mall Puchong dilanda banjir kilat, susulan hujan lebat lewat petang tadi.

Sistem Pemantauan Aras Air Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merekodkan banjir setinggi 3.1 meter melanda kawasan itu kira-kira jam 6.55 petang tadi.

Pusat beli-belah IOI Mall Puchong yang terletak berhampiran turut dilaporkan terjejas akibat kejadian banjir kilat itu.

Menerusi beberapa perkongsian di media sosial, air separas atas buku lali dilihat melimpah masuk ke tempat parkir kenderaan dan kawasan perniagaan yang dipercayai terletak di aras G premis perniagaan terbabit.

Berikutan itu, melalui satu notis pada jam 6.46 petang tadi, Unit Pengurusan Bencana MBSJ meminta semua agensi membuat persediaan bantuan, selain mengeluarkan amaran awal paras air tahap tiga (bahaya).

"Semua agensi terbabit Pengurusan Bencana diminta bersedia untuk pelaksanaan Operasi Bantuan Bencana di bawah bidang kuasa masing-masing.

"Penduduk berdekatan diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa," katanya.

Selain itu, katanya, semua pengguna jalan raya diminta tidak menggunakan laluan berkenaan.

Berita Harian X