Sabtu, 16 Disember 2023 | 4:22pm
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang. - Foto fail NSTP
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang. - Foto fail NSTP

KKDW dapat peruntukan RM4 juta perkasakan program PKD

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah diperuntukkan sebanyak RM4 juta di bawah Belanjawan 2024 untuk bagi memperkasakan lagi pelaksanaan program Pusat Komuniti Desa (PKD) di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang, berkata hingga November lalu, sebanyak 6,780 program sudah dilaksanakan oleh 191 PKD di seluruh negara yang memanfaatkan 166,590 penduduk luar bandar.

"Di Sarawak sahaja terdapat enam PKD dan kita telah menyediakan 162 program yang telah dimanfaatkan oleh 3,585 penduduk di sekitar pusat berkenaan," katanya ketika berucap merasmikan PKD Mobile Kota Samarahan di Kampung Tambirat di sini, hari ini.

Beliau berkata, PKD adalah satu daripada inisiatif KKDW dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat luar bandar, dengan objektif membawa perkhidmatan yang disediakan agensi kerajaan dan swasta ke kawasan luar bandar menerusi konsep 'Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan'.

Rubiah, yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, berkata KKDW juga telah membangunkan sistem MyPKD bertujuan memastikan pengoperasian dan pengurusan bertambah baik serta cekap seiring dengan perkembangan teknologi digital.

Mengenai program PKD Mobile, katanya ia dimulakan tahun ini bagi memastikan kementerian itu dapat terus memberikan perkhidmatan secara menyeluruh dan inklusif.

Menurutnya, PKD Mobile Kota Samarahan merupakan siri program yang ketiga diadakan selepas program pertama dibuat di Gerik, Perak dan diikuti program di Nabawan, Sabah.

"Insya-Allah, tahun depan kita akan melihat keberkesanan PKD ini kepada masyarakat luar bandar dari sudut penyaluran maklumat perkhidmatan dan sebagai penilaian bagi mengadakan lebih banyak PKD Mobile," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X