Sabtu, 16 Disember 2023 | 2:29pm
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA

Peningkatan kes COVID-19: Masjid, surau diminta titik berat SOP cegah jangkitan

PUTRAJAYA: Pihak pengurusan masjid dan surau di negara ini diminta menitikberatkan semula prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 susulan kes jangkitannya semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata jemaah masjid dan surau dinasihat mengamalkan langkah pencegahan jangkitan dengan memakai pelitup muka, terutama mereka yang bergejala serta berisiko tinggi seperti warga emas, individu berpenyakit kronik dan ibu mengandung.

Katanya, langkah berwaspada itu selaras dengan saranan Islam agar perkara yang boleh membawa kemudaratan hendaklah dielakkan (sad al-zaraie).

Beliau berkata, ia bagi memastikan tempat perkumpulan ramai umat Islam seperti di masjid dan surau, dapat diambil tindakan pencegahan awal jangkitan berkenaan.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk mengambil langkah proaktif dalam ruang lingkup hal ehwal agama bagi menghadapi wabak itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan kerajaan mengarahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, untuk memantau situasi COVID-19 yang sedang menunjukkan trend peningkatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipetik berkata walaupun kes dilihat belum serius kini, Dr Dzulkefly diarahkan membuat pemantauan rapi demi kesihatan masyarakat awam.

Mengulas lanjut, Mohd Naim berkata, seluruh lapisan masyarakat dinasihatkan mengambil langkah berhati-hati dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga agar terhindar daripada wabak COVID-19.

"Umat Islam juga disarankan berhati-hati setiap masa dan sentiasa berdoa serta bermunajat agar wabak ini dapat dihindari," katanya.

Berita Harian X