Sabtu, 16 Disember 2023 | 11:02am
Lokasi tragedi yang mengorbankan 31 individu pada 16 Disember tahun lalu. - Foto fail
Lokasi tragedi yang mengorbankan 31 individu pada 16 Disember tahun lalu. - Foto fail

Tragedi Batang Kali: Episod duka terus hantui mangsa terselamat, waris

KUALA LUMPUR: Awal pagi Jumaat, 16 Disember setahun yang lalu, negara dikejutkan dengan satu tragedi berlokasi di Batang Kali.

Maklumat awal diterima pihak berkuasa berhubung kejadian kira-kira jam 2.30 pagi di Father's Organic Farm, tapak perkhemahan popular di daerah Hulu Selangor itu, menyatakan ada 100 mangsa terbabit, namun dari semasa ke semasa jumlah berubah sebelum muktamad pada angka 92.

Selama sembilan hari operasi mencari dijalankan di kawasan perkhemahan yang tertimbus itu, akhirnya 61 daripada mangsa disahkan terselamat, manakala 31 lagi terkorban membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Kebanyakan mangsa yang maut adalah guru, pelajar dan kakitangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Kampung Batu, Jalan Ipoh, di sini, bersama ahli keluarga mereka.

Hari ini setahun kemudian, tragedi merekodkan jumlah korban terbesar selepas 48 individu meninggal dunia dalam runtuhan kondominium Highland Towers pada 1993 itu masih membekas dalam hati mereka yang terselamat dan waris 31 mangsa yang maut.

Episod duka itu ternyata masih melatari pemikiran mangsa, malah ada sebahagian waris yang belum dapat menerima sepenuhnya hakikat kehilangan insan tersayang.

Trauma belum pulih

Bagi Wong Wai Foong, 36, trauma masih belum pulih sepenuhnya, malah aktiviti perkhemahan yang sangat digemari tidak lagi disertai.

Dia sekeluarga juga sangat sensitif, cemas jika terdengar apa-apa bunyi kuat dari kawasan persekitaran, seolah-olah kembali ke lokasi kejadian.

Lebih menyedihkan, isterinya, Loi Jia Wen, 36, terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu menumpukan perhatian susulan insiden mengerikan berkenaan.

"Impak tragedi ini sangat serius kepada kami sekeluarga. Nasib baik ketika kejadian, dua anak kami masih kecil dan tidak menerima kesan langsung daripada insiden terbabit. Saya dan isteri sering terbayang detik cemas itu.

"Sejurus dibenarkan pulang ke rumah, kami mengambil masa agak lama untuk sekurang-kurangnya cuba melupakan apa yang berlaku," katanya kepada BH.

Wai Foong menitip nasihat kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memilih lokasi riadah dengan tepat serta mengutamakan keselamatan, khususnya ketika musim cuti sekolah yang bermula hari ini.

"Saya sekeluarga sering melakukan aktiviti perkhemahan, tetapi kurang ambil maklum aspek keselamatan dan penilaian kesan di lokasi yang kami kunjungi.

"Memang musibah berlaku tanpa diduga, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu titikberatkan aspek keselamatan, pilih lokasi tepat dan bersesuaian. Itu penting jika beriadah bersama seisi keluarga," katanya.

Rindu sering terbit

Adik Allahyarham Nurul Azwani Kamarulzaman, Nurhazita, 25, berkata dia sekeluarga, terutama ibu, Siti Esah Hassan sering teringat kenangan bersama bekas pembantu kantin SJKC Mun Choong itu.

Katanya, ibu tidak sedikit pun menyalahkan takdir, jauh sekali mengeluh dengan ujian hidup, tetapi rindu sering terbit setiap kali berada di atas sejadah yang menjadi tempat dia meluah nasib menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu.

Nurhazita yang sebelum tragedi berkenaan bebas melakukan aktiviti, kini perlu membataskannya demi menjaga Siti Esah yang sebelum ini diuruskan Allahyarham kakaknya.

"Susah untuk lupakan kakak, malah kami terasa agak janggal meraikan Aidilfitri lalu tanpa Nurul Azwani. Hanya doa dapat kami titipkan kepada arwah. Selepas kejadian malang itu, ibu melarang saya dan kakak kedua melakukan aktiviti perkhemahan. Setakat ini kami belum ada kekuatan untuk berkhemah lagi," katanya.

Peniaga, Lai Choon Seng, 46, juga mengakui ibu, Chong Mui Tiau, 70, dan bapa, Lai Ah Kau, 78, masih sukar menerima kenyataan kehilangan dua anak perempuan mereka, Lee Koon dan Lee Yin bersama dua cucu.

Akibat tragedi terbabit, Ah Kau mengalami kemurungan dan perlu menjalani terapi, selain lebih gemar menghabiskan masa di rumah, berbanding melakukan aktiviti luar.

"Saya dan dua lagi adik lelaki memilih tak terlalu berkongsi perkembangan mengenai mendiang dua adik perempuan dan anak saudara kami kepada ibu dan ayah. Impak tragedi ini sangat sukar untuk diterima kami sekeluarga.

"Kami tiga beradik tak sanggup melihat ibu dan ayah sedih meratapi berita duka ini. Malah, tahap kesihatan ibu pun kurang mengizinkan dan dia juga disahkan mengalami masalah jantung," katanya.


Berita berkaitan:
Tragedi Batang Kali: Kerja baik pulih struktur cerun capai 55 peratus



INFO

Laporan forensik tragedi tanah runtuh Batang Kali

  • 2 runtuhan berlaku selang 20 minit awal pagi 16 Disember 2022.
  • Saksi maklumkan ada 2 kegagalan cerun di lokasi sama.
  • Runtuhan tanah pertama sekitar 2 pagi, disusuli runtuhan kedua.
  • Anggaran dimensi kegagalan cerun 70m tinggi, 120m lebar, 330m panjang.
  • Anggaran jumlah runtuhan 283,000m padu.
  • Mod kegagalan gabungan kombinasi runtuhan jenis putaran, aliran puing.
  • Runtuhan pertama jenis putaran disebabkan kegagalan kaki cerun dalam kawasan persendirian.
  • Kawasan persendirian meliputi rizab jalan dan hutan, sebahagian tanah persendirian.
  • Struktur cerun dilapor alami ketepuan air tinggi, tanah gagal tampung lebihan had air menyebabkan kegagalan cerun.
  • Debris runtuhan sampai ke tapak perkhemahan Riverside, kira-kira 500m dari jalan.
  • Debris mengandungi tanah, batu, pokok hasil runtuhan pertama terkumpul di kaki cerun, membentuk empangan buatan sementara.
  • Aliran air permukaan daripada runtuhan, sungai sedia ada terkumpul di belakang empangan.
  • Empangan pecah selepas kira-kira 20 minit, cetus runtuhan kedua menimbus seluruh tapak perkhemahan.

(Sumber: Agensi Pengurusan Bencana Negara)

Berita Harian X