Sabtu, 16 Disember 2023 | 10:52am

Tragedi Batang Kali: Kerja baik pulih struktur cerun capai 55 peratus

HULU SELANGOR: Kerja baik pulih struktur cerun yang runtuh dekat tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali di sini, dibuat menggunakan kaedah 'terralink wall' dengan kadar kemajuan sudah mencapai 55 peratus, setakat ini.

Sistem itu adalah dinding pengukuh (RE Wall) yang diperkuatkan dengan penahan, membolehkan RE Wall bersambung terus pada struktur sedia ada atau cerun yang distabil menggunakan teknik pemakuan tanah.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor, Ahmad Faris Mohd Ghazali, berkata pemilihan kaedah itu dibuat selepas mengambil kira keluasan tapak, selain didorong faktor ketinggian runtuhan cerun di situ.

Kaedah sama juga, katanya, boleh menghasilkan ruang tambahan bahu jalan bagi struktur jalan raya di Jalan B66 Seksyen 14 Jalan Batang Kali-Genting Highlands, lokasi yang terjejas dengan tragedi pada 16 Disember lalu.

Setakat ini, kerja pemakuan tanah sedang dijalankan di tapak berkenaan, membabitkan sebanyak 1,739 titik bagi memuatkan pepaku tanah sepanjang 15 meter (m), selain pembinaan RE Wall bertingkat dibuat secara berperingkat.

Projek guna kaedah ‘terralink wall’ dijangka siap akhir Mac tahun depan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Projek guna kaedah ‘terralink wall’ dijangka siap akhir Mac tahun depan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

RE Wall diperkuat dengan penahan, membolehkan RE Wall bersambung terus pada struktur sedia ada. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
RE Wall diperkuat dengan penahan, membolehkan RE Wall bersambung terus pada struktur sedia ada. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

"Kita sudah siap memasukkan pepaku tanah di 1,340 titik dan bakinya dijangka dapat disiapkan dalam tempoh terdekat. Struktur dinding penahan ini juga dilengkapi 'weep hole' (lubang leleh) yang berfungsi bagi mengalirkan air dalam tanah ke sungai berhampiran.

"Setiap 'weep hole' dengan kepanjangan 23m ini akan ditebuk menggunakan ukuran tertentu, selain dibalut dengan 'non woven geotextile filter' bagi mengelak mendapan masuk ke dalam sistem pengairan berkenaan.

"'RE Wall' pula akan dibina selepas kerja pemakuan tanah selesai. Ia akan kelihatan seolah-olah benteng 'gabion', tetapi menggunakan bahan berlainan serta menampilkan kemasan yang cantik. Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Mac depan," katanya kepada BH.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor, Ahmad Faris Mohd Ghazali. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor, Ahmad Faris Mohd Ghazali. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Baru-baru ini, EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, dipetik berkata kerja membaiki cerun di Jalan Batang Kali-Genting Highlands dijangka siap pertengahan 2024, membabitkan kos lebih RM20 juta.

JKR pula memaklumkan, laluan sementara satu lorong di jalan berkenaan dibuka semula dengan kawalan pihak berkuasa pada 6 Januari lalu, selepas ditutup akibat tragedi tanah runtuh, kira-kira tiga minggu sebelumnya.

Penggunaan laluan itu bagaimanapun terhad kepada pekerja di Genting Highlands yang memiliki surat pengesahan majikan, selain kenderaan kelas 1 serta 6. Pengguna tidak dibenarkan berhenti di kawasan tanah runtuh.

Kenderaan kelas 1 merangkumi kereta, teksi dan kenderaan pelbagai guna (MPV), manakala kelas 6 adalah motosikal dan skuter.

Masih ada pergerakan tanah

Sementara itu, Ahmad Faris berkata, hasil survei dari semasa ke semasa mendapati pergerakan tanah di tapak runtuhan masih berlaku pada skala kira-kira 0.05 milimeter (mm), iaitu masih tidak melebihi nilai ambang.

"Prosedur pemantauan pergerakan tanah guna alat khusus selama enam bulan sejurus kejadian 16 Disember lalu, namun kaedahnya ditukar apabila kerja pembaikan cerun bermula. Pemantauan diteruskan guna kaedah survei dari semasa ke semasa," katanya.

Kerja baik pulih struktur cerun yang runtuh dekat tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Kerja baik pulih struktur cerun yang runtuh dekat tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Laporan forensik tragedi tanah runtuh Batang Kali di laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara menunjukkan pemilik tanah mempunyai kebenaran merancang untuk membangunkan pusat peranginan dan taman botani di tanah seluas 81.71 hektar itu.

Ia menamakan Malaysia Botanical Gardens Resort Sdn Bhd (MBGR) sebagai pemilik berdaftar dan sejak 2006, perancangan membangunkan lokasi berkenaan sebagai resort dan taman botani dilakukan MBGR melalui syarikat konsultan dilantik, PIR Planner.

Syarikat terbabit memohon kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Selangor pada Julai 2019.

Tahun lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mendedahkan tiga tapak perkhemahan itu beroperasi tanpa lesen, selain syarikat yang mengusahakan tapak terbabit hanya memiliki kebenaran merancang bagi aktiviti pertanian organik yang diluluskan MDHS, pada 2019.


Berita berkaitan:

  • Tragedi Batang Kali: Episod duka terus hantui mangsa terselamat, waris
  • RE Wall diperkuat dengan penahan, membolehkan RE Wall bersambung terus pada struktur sedia ada. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
    RE Wall diperkuat dengan penahan, membolehkan RE Wall bersambung terus pada struktur sedia ada. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
    Berita Harian X