Jumaat, 15 Disember 2023 | 9:27pm
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

KKM digesa kemas kini garis panduan pencegahan jangkitan COVID-19 di sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa segera mengemas kini garis panduan pencegahan wabak COVID-19 bagi pengoperasian sekolah.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata langkah itu diperlukan berikutan trend jangkitan harian COVID-19 di negara ini terus menunjukkan peningkatan.

"Sehubungan itu, MCA menggesa kerajaan, khususnya KKM dan Kementerian Pendidikan (KPM) mewujud serta mengemas kini garis panduan pencegahan pandemik secepat mungkin.

"Ia kerana dengan adanya garis panduan mengenai COVId-19, sekolah dapat melakukan persediaan mencegah serta menyekat penularan jangkitan dengan berkesan sebaik penggal persekolahan baharu bermula, sekali gus melindungi kesihatan murid dan kakitangan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Hang Soon berkata, dengan lonjakan kes positif COVID-19 tempatan ketika ini, sekolah juga perlu menjadi keutamaan sama seperti kumpulan terdedah yang berisiko tinggi yang diberikan perhatian khusus.

"Memandangkan COVID-19 ini mempunyai risiko penularan penyakit berjangkit, MCA berharap garis panduan yang dikemas kini itu dapat menghindari sekolah daripada menjadi kawasan titik panas penularan jangkitan.

Katanya, KKM juga seharusnya memberi keutamaan dan perhatian teliti mengenai kemungkinan penularan kluster COVID-19 di sekolah dengan merangka garis panduan terperinci pencegahan jangkitan dengan secepat mungkin.

"Garis panduan perlu diedarkan ke sekolah, selain memaklumkan kemas kini peraturan berkaitan COVID-19 kepada ibu bapa, murid pengusaha kantin dan pemandu bas sekolah serta pihak terbabit sebagai persediaan permulaan penggal persekolahan baharu.

"Langkah ini bagi meningkatkan kewaspadaan orang ramai sekali gus mewujudkan kesedaran untuk membendung penularan COVID-19," katanya.

Katanya, KKM melalui KPM, boleh membantu sekolah dengan mengadakan langkah pembasmian kuman dan pembersihan kawasan awam, bilik darjah, tandas, perpustakaan dan tempat yang sering dikunjungi pelajar dan kakitangan selepas penggal persekolahan baharu bermula bagi menjaga kebersihan sekolah dan persekitaran.

"Selain membasmi kuman di kawasan sekolah, MCA menggesa KPM menyediakan termometer, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada sekolah, pengusaha kantin, pemandu bas sekolah, dan lain-lain, supaya mereka boleh melakukan langkah pencegahan jangkitan.

"KKM juga harus mengesyorkan guru dan murid memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan membasmi kuman, mengelakkan berada di tempat sesak bagi melindungi kesihatan dan keselamatan semua orang.

"Selain itu, KKM juga boleh memberi panduan atau nasihat mengenai pengambilan dos vaksin penggalak untuk kakitangan dan murid," katanya.

Tegasnya, jangkitan COVID-19 di seluruh dunia menunjukkan trend peningkatan.

"Justeru, kerajaan serta semua lapisan masyarakat digalakkan untuk bersedia menghadapi kemungkinan tidak dijangka, merangka pelbagai langkah pencegahan, dan melaksanakan setiap usaha secara terperinci mengenai persediaan pencegahan wabak.

"Hanya melalui kaedah ini kita boleh memerangi penularan jangkitan COVID-19 dengan berkesan dan mengelak negara kembali terjejas dengan pandemik itu sekali lagi," katanya.

Berita Harian X