Jumaat, 15 Disember 2023 | 6:06pm
Zaini (tengah) bersama anak sulung Allahyarham Rossly, Mohd Hafizzulnyzam (berbaju Melayu ungu) dan ahli keluarga lain memberikan penghormatan terakhir kepada arwah. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi.
Zaini (tengah) bersama anak sulung Allahyarham Rossly, Mohd Hafizzulnyzam (berbaju Melayu ungu) dan ahli keluarga lain memberikan penghormatan terakhir kepada arwah. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi.

Abang Pengarang Urusan Kumpulan NSTP meninggal dunia

IPOH: Abang kepada Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Rossly Kamaruzzaman meninggal dunia akibat penyakit sirosis awal pagi tadi.

Allahyarham Rossly, 66, menghembuskan nafas terakhir jam 3 pagi ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Anaknya, Rahayyu Rossly, 40, berkata bapanya mula mengalami demam dan muntah-muntah yang teruk pada malam Selasa lalu.

"Pagi keesokannya, arwah mengadu pening sebelum dibawa ke Unit Kecemasan HRPB, Ipoh. Doktor menasihatkan supaya ayah ditidurkan dengan dibantu mesin pernafasan atau ventilator bagi rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jenazah Rossly disolatkan di Masjid Ibnu Salam dan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Pegoh, Lahat, di sini selepas solat Jumaat.

Allahyarham yang juga pesara petugas di Bahagian Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak meninggalkan seorang balu, Hafiza Abdul Aziz, 62, dan enam anak berusia antara 25 hingga 41 tahun serta tiga cucu.

Ahmad Zaini yang juga Pengarang Kumpulan Berita Harian turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada abangnya.

Berita Harian X