Jumaat, 15 Disember 2023 | 12:49pm
Sebahagian penduduk Kampung Bendang, Perol berpindah semula ke PPS malam tadi. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sebahagian penduduk Kampung Bendang, Perol berpindah semula ke PPS malam tadi. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Baru 3 hari balik rumah, kena pindah ke PPS semula

RANTAU PANJANG: Penduduk Kampung Bendang, Perol di sini, terpaksa akur berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi, walaupun baru tiga hari pulang ke rumah.

Nurasila Abd Majid, 28, berkata dia dan keluarga berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini, 12.30 tengah malam tadi, selepas air mula melimpahi kawasan halaman rumahnya sedalam kira-kira 0.7 meter dan pada masa sama, hujan lebat.

Katanya, belum sempat menarik nafas lega dapat pulang ke rumah, sekali lagi dia sekeluarga terpaksa berdepan saat getir meredah banjir dalam gelap untuk menyelamatkan diri.

"Kami tak berfikir panjang, terus keluar ke tempat selamat memandangkan air biasanya naik mendadak pada waktu malam. Tambahan pula, saya sendiri mempunyai anak kecil yang perlu difikirkan.

"Sebelum ini, sudah lebih dua minggu kami berteduh di PPS, pulang ke rumah sebaik air mulai surut dan kering. Tidak sangka belum sempat kami membersihkan rumah sepenuhnya, banjir datang lagi.

"Nampaknya PPS akan menjadi rumah kedua buat saya sekeluarga, namun berharap banjir segera pulih dan tidak berpanjangan kerana risau keadaan rumah yang sudah lama digenangi air," katanya ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Mek Yam Ahmad, 82, mengakui berasa sebak kerana sudah penat mahu berpindah memandangkan dia juga sudah tidak boleh berjalan serta perlu dibantu.

"Selesai sahaja Subuh, anak terus mengangkat saya ke dalam perahu untuk meredah banjir ke PPS. Kami bimbang kerana air naik dan jika hujan berterusan, sedikit saja lagi akan masuk ke dalam rumah.

"Gembira boleh pulang ke rumah sendiri, tapi hati mula gelisah memikirkan hujan tanpa henti. Kemudian, anak memaklumkan bahawa kami perlu berpindah segera kerana paras air semakin meningkat.

"Naik perahu, turun perahu, macam inilah nasib saya setiap kali musim tengkujuh, namun tidak ada apa yang boleh saya lakukan kerana di sini sahaja kediaman serta tanah yang saya ada," katanya.

Menurutnya, rumah kayu miliknya juga semakin mereput dan bimbang akan runtuh kerana sering ditenggelami banjir.

Berita Harian X