Jumaat, 15 Disember 2023 | 12:14pm
Para penjawat awam melafazkan ikrar pada Program Malaysia MADANI di Dalam Perkhidmatan Awam Bersama CUEPACS di Seremban pada 26 Julai lalu. - foto hiasan BERNAMA
Para penjawat awam melafazkan ikrar pada Program Malaysia MADANI di Dalam Perkhidmatan Awam Bersama CUEPACS di Seremban pada 26 Julai lalu. - foto hiasan BERNAMA

CUEPACS gesa penyelarasan gaji penjawat awam disegerakan, jangan tunggu 2025

KUALA LUMPUR: CUEPACS menggesa kerajaan melaksanakan segera penyelarasan gaji penjawat awam tanpa menunggu sehingga 2025 seperti yang ditetapkan melalui kajian di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata berdasarkan tempoh ditetapkan kerajaan, kajian SSPA yang bermula Julai lalu dijangka dapat dimuktamadkan pada Oktober 2024, manakala pelaksanaannya hanya akan dibuat pada 2025.

Katanya, tempoh itu terlalu lama dan kerajaan sewajarnya memberi keutamaan dalam isu ini.

"Ini kerana ia membabitkan isu kebajikan 1.6 juta penjawat awam yang sedang berkhidmat serta lebih 700,000 pesara kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, tempoh masa yang ditetapkan bagi pelaksanaan SSPA baharu pada 2025 juga tidak jelas dan bergantung sepenuhnya kepada situasi kewangan negara.

Tempoh itu juga terlalu lama dan wajar disegerakan bagi membantu penjawat awam serta pesara menghadapi kos sara hidup semasa.

Beliau menjelaskan tiada sebarang bentuk penyelarasan dan kenaikan gaji secara drastik diterima penjawat dalam lebih lebih sedekad.

"Situasi ini mengakibatkan ada penjawat awam dan pesara yang tertekan serta tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang sentiasa meningkat saban tahun terutama mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.

"Penjawat awam, ketika ini memerlukan sebuah sistem saraan baharu bagi membantu mereka berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

"Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan pada 2002 bagaikan kerangka 'rumah lama' yang sudah tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa.

"Tiada gunanya jika kita mampu mencapai purata pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan pada 2025 seperti yang disasarkan melalu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sekiranya nasib golongan pekerja bawahan dan menengah masih lagi terhimpit dengan kadar gaji di bawah paras kemiskinan," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, CUEPACS berterima kasih atas keprihatinan kerajaan untuk meneruskan pemberian bantuan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) untuk tempoh Januari hingga Disember 2024 sekali gus memastikan pesara kerajaan terus menerima amaun pencen semasa.

Keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini berkaitan Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 telah mengakibatkan bayaran pencen kepada semua pesara perlu dikembalikan kepada amaun pencen asal.

"Bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012 manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

"PKKP adalah pembayaran perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara setiap bulan sama seperti amaun pencen semasa.

"CUEPACS sangat menghargai keputusan ini dan melihat ia suatu komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan pesara kerajaan yang telah banyak menabur bakti semasa dalam perkhidmatan," katanya.

Namun, tegas beliau penerusan pembayaran PKKP bukanlah penyelesaian tuntas kepada permasalahan yang berlaku.

"Ini kerana penyelarasan pencen penjawat awam hanya akan dibuat selaras dengan pelaksanaan semakan gaji perkhidmatan awam yang ketika ini masih dalam tindakan menyediakan cadangan semakan semula.

"Selagi pelarasan gaji perkhidmatan awam tidak buat, selagi itulah penyelarasan pencen penjawat awam tidak boleh dilakukan dan hanya bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan semasa kerajaan seperti inisiatif PKKP," katanya

Berita Harian X