Jumaat, 15 Disember 2023 | 10:22am
Dunia yang semakin bergantung kepada AI dalam pelbagai sudut kehidupan dan aplikasi, seperti robotik, automasi pembuatan, pendidikan, kesihatan dan keselamatan siber perlu disahut dengan tindakan berstrategi. - Foto hiasan
Dunia yang semakin bergantung kepada AI dalam pelbagai sudut kehidupan dan aplikasi, seperti robotik, automasi pembuatan, pendidikan, kesihatan dan keselamatan siber perlu disahut dengan tindakan berstrategi. - Foto hiasan

Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan: Apa Impak kepada Malaysia?

DALAM era kemajuan teknologi digital yang pesat, penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah satu lonjakan besar ke arah menyiapsiagakan negara mendepani masa hadapan.

Dunia yang semakin bergantung kepada AI dalam pelbagai sudut kehidupan dan aplikasi, seperti robotik, automasi pembuatan, pendidikan, kesihatan dan keselamatan siber perlu disahut dengan tindakan berstrategi.

Negara memandang serius aspek pembangunan bakat berkaitan bidang transformatif ini, justeru penubuhan Fakulti AI dijangka memberi impak dalam mempertingkat daya saing digital dan ekonomi negara sekali gus menginovasikan landskap sosioekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pembentangan Belanjawan 2024, jelas mengungkapkan; "Malaysia perlu bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan, selari dengan ledakan transformasi digital global. Inovasi dan bakat digital perlu diperkasakan, khususnya bidang AI bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara lebih mampan."

Bagi memperhebat penerokaan bidang AI rentas disiplin ilmu, Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti AI di UTM dengan peruntukan awal RM20 juta.

Penubuhan Fakulti AI merupakan langkah strategik kerajaan MADANI dalam menginovasikan dunia pendidikan dan pertumbuhan ekonomi negara. Fakulti berkenaan akan menawarkan program khusus dalam bidang AI di pelbagai peringkat pengajian serta merentas disiplin ilmu dan pelajar akan didedahkan dengan pengetahuan komprehensif mengenainya.

Pemerhati politik menyifatkan adalah mustahil Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk digugat dengan gerakan seperti Langkah Dubai kerana memiliki asas kuat menerusi sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen. - Foto PMO
Pemerhati politik menyifatkan adalah mustahil Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk digugat dengan gerakan seperti Langkah Dubai kerana memiliki asas kuat menerusi sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen. - Foto PMO

Langkah berani kerajaan ini dijangka mampu memenuhi permintaan terhadap bakat AI yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Fakulti AI yang ditempatkan di lokasi strategik, iaitu di kampus UTM Kuala Lumpur bakal berperanan penting dalam melahirkan graduan yang mahir dalam teknologi AI dan turut dilengkapi dengan pengaplikasian pengetahuan dalam senario dunia industri sebenar.

Kurikulum program AI direka bentuk dengan mengambil kira pandangan pelbagai pakar daripada kelompok akademia dan industri. Program akan menyentuh pelbagai teras AI, termasuklah AI generatif, pembelajaran mesin, pembelajaran mendalam, sains data, pemprosesan bahasa semula jadi dan aspek manusiawi serta etika berkaitan AI.

Hasrat ini sejajar dengan pelan Hala Tuju AI Malaysia 2021–2025 di bawah Inisiatif Strategik Bakat AI, iaitu pendidikan AI yang komprehensif dan inklusif perlu ditawarkan bagi memenuhi keperluan bakat AI masa hadapan negara yang diunjurkan seramai 200,000 orang.

Bakat AI dimaksudkan merangkumi, profesional AI dengan kelayakan kedoktoran, sarjana, sarjana muda, profesional AI, pendidik dengan kemahiran dan berkepakaran AI, serta jurulatih profesional AI.

Tenaga kerja profesional AI terlatih bakal menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran dan penciptaan peluang pekerjaan baharu dalam negara.

Selari dengan perkembangan industri yang semakin aktif mengadaptasi penyelesaian berasaskan AI, permintaan terhadap bakat yang mahir dalam membangun, melaksana dan menyelenggara sistem berasaskan AI akan terus mendapat permintaan tinggi.

Fakulti AI yang menawarkan pendidikan berorientasi masa hadapan, berfokuskan industri, serta berpusatkan kemanusiaan bakal melahirkan graduan holistik dengan nilai jati diri yang mantap. Pendekatan ini juga diyakini dapat menangani jurang kepakaran dalam bidang AI sekali gus memperkasa tenaga kerja profesional demi mencapai pulangan dan nilai tinggi sesebuah industri.

Terus tingkat kemahiran

Di sebalik perkembangan rancak teknologi AI, terdapat kelompok masyarakat yang bimbang dengan kesan sampingan dicetuskan gelombang AI, khususnya aspek berkaitan keterjaminan pekerjaan apabila AI dilihat boleh mengancam peluang pekerjaan di masa hadapan.

Tiada jawapan tuntas bagi mendepani kebimbangan ini melainkan melalui pendidikan, peningkatan kemahiran, dan kemahiran semula pekerja pelbagai sektor guna tenaga negara seperti mana dirangkakan melalui penubuhan Fakulti AI.

Peruntukan dana awal RM20 juta diumumkan adalah sebahagian daripada agenda AI negara yang diamanahkan kepada UTM untuk melaksanakannya dengan manfaat dan impak untuk dinikmati negara.

Aspirasi negara ini kini telah menjadi keutamaan di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang bakal memimpin kerjasama dalam menggembleng kepakaran AI bukan sahaja di UTM malah di institusi pendidikan tinggi awam serta swasta negara ini.

Justeru, penubuhan sebuah Konsortium Pakar AI menjadi keutamaan UTM lantaran penglibatan peneraju dan pemain industri AI juga penting dalam memastikan usaha penghasilan bakat AI negara dapat dilaksanakan secara kolektif, menyeluruh, dan berimpak.

Dalam program Huawei Malaysia ICT Academy Summit 2023, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman dalam ucapannya, turut menjelaskan, Fakulti AI yang dicadangkan penubuhannya di UTM akan merintis pertumbuhan kecerdasan buatan di Malaysia.

Ini sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan AI sejajar dengan pergerakan digital sejagat. Beliau turut menekankan UTM sebagai peneraju, akan bekerjasama dengan universiti awam dan swasta serta pemain industri yang mempunyai kepakaran dalam AI, berkolaborasi dan berkembang bagi memenuhi keperluan negara.

Melalui dana permulaan ini juga, Kementerian Pendidikan Tinggi berharap, institusi pengajian tinggi tempatan yang lain akan turut mengatur langkah sewajarnya agar kekurangan tenaga profesional AI negara dapat diatasi lebih pantas.

Jelas sekali, penubuhan Fakulti AI di UTM bukan sahaja bakal memupuk kecemerlangan akademik bahkan langkah strategik mengukuh sinergi antara akademia dengan industri. Penubuhan konsortium pakar AI bakal dapat dimanfaatkan pelajar.

Akses kepada teknologi AI terkini akan dapat dirasai pelajar di samping menguji kompetensi mereka dalam menginovasi penyelesaian melalui pelaksanaan projek dan kajian kes berasaskan permasalahan AI sebenar.

Penubuhan Fakulti AI juga diharap dapat meningkatkan daya saing digital negara. Laporan IMD World Digital Competitiveness Ranking (WDC) 2022 menunjukkan secara keseluruhan, Malaysia di tangga ke-31 daripada 63 negara yang terbabit.

Indeks ini petunjuk penting terhadap keupayaan ekonomi negara dalam meneroka teknologi digital baharu yang mampu mentransformasi amalan terbaik, model perniagaan, dan rakyat dalam memperkukuh pertumbuhan negara.

Tiga faktor utama yang menjadi asas penilaian WDC adalah ilmu pengetahuan, teknologi, dan ketersediaan masa hadapan. Dengan adanya sinergi daripada pemegang taruh daripada kalangan institusi pengajian tinggi sehinggalah ke pemain industri, tahap daya saing digital negara akhirnya akan dapat dipertingkatkan.

Komitmen UTM dalam menggalas amanah dan memenuhi harapan negara melalui penubuhan Fakulti AI dapat dilihat melalui langkah menyemak dan memuktamad pelan tindakan 2024, Pelan Strategik enVision UTM 2025, bicara etika dan kebertanggungjawaban teknologi AI termasuklah menggubal kurikulum akademik AI yang seimbang.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail, beliau amat menekankan aspek pembangunan potensi insani yang harus diteroka, digarap, dibangunkan, dan digilap agar bukan sekadar menjadi pengguna teknologi AI, sebaliknya mampu mencipta teknologi AI baharu dalam menginovasi penyelesaian kepada permasalahan kompleks yang mengelilingi kehidupan kita.

Melihat ke hadapan, asas kepada penubuhan Fakulti AI telah dirangka melalui satu visi yang dikongsi bersama iaitu 'Fakulti bertaraf dunia yang menyediakan pendidikan dan penyelidikan dalam kecerdasan buatan merentas bidang.'

Penghasilan bakat AI untuk mengisi keperluan dalam pertumbuhan ekonomi negara adalah impak utama dinantikan dari fakulti ini. Sudah pasti slogan UTM, 'Kerana Tuhan Untuk Manusia' akan mendasari perjalanan fakulti baharu ini nanti.


Penulis adalah Dekan, Fakulti Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X