Khamis, 14 Disember 2023 | 4:53pm
Menteri Digital, Gobind Singh Deo bersama (dari kiri) Timbalan Menteri Digital Datuk Ugak Anak Kumbong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Rodzi Md Saad ketika mengadakan lawatan ke MAMPU di Kompleks Setia Perdana, hari ini.--BERNAMA

MAMPU akan ditempatkan di bawah Kementerian Digital

PUTRAJAYA: Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan ditempatkan di bawah Kementerian Digital yang baru dibentuk, kata Menterinya, Gobind Singh Deo.

MAMPU sebelum ini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"MAMPU pastinya di bawah kementerian saya," kata Gobind yang baru dilantik menerajui kementerian itu kepada BERNAMA, selepas mengadakan lawatan ke pejabat MAMPU di Kompleks Setia Perdana di sini, hari ini.

Gobind diiringi Timbalan Menterinya, Datuk Ugak Anak Kumbong dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. Mereka juga diberi taklimat mengenai struktur dan operasi MAMPU oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Rodzi Md Saad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengumumkan penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipecahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Gobind berkata, masih ada aspek tertentu yang perlu dijelaskan dan diperhalusi dari segi skop kerja yang berada di bawah Kementerian Digital.

"Memandangkan kementerian ini baharu, bidang yang ditugaskan dan agensi mana yang berada di bawah kita perlu diperhalusi," katanya dan menambah beliau mungkin akan mengadakan sidang akhbar tidak lama lagi.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC Bhd dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi juga akan dipindahkan ke Kementerian Digital.– BERNAMA

Berita Harian X