Khamis, 14 Disember 2023 | 4:42pm
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, hari ini.--BERNAMA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, hari ini.--BERNAMA

Jabatan Peguam Negara rangka draf pindaan Perlembagaan isu kewarganegaraan

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata draf itu dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

"Pada asalnya (pindaan) adalah untuk memasukkan satu perkataan iaitu ibu, namun atas nasihat Majlis Raja-Raja bahawa harus ada elemen kawalan kerana apabila kita menerima seseorang anak itu menjadi warganegara melalui pindaan ini, anak itu juga ialah warganegara mengikut kewarganegaraan bapa dan ibunya, bagaimanapun Perlembagaan tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan.

"Jadi, apa kita buat adalah dengan meminda fasal berkaitan termasuk memasukkan satu lagi pindaan yang juga sedang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara dengan mencadangkan pada umur 18 tahun anak itu boleh memilih satu kewarganegaraan. Kenapa 18? Untuk kita konsistenkan dengan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Umur Dewasa 1971," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Zurainah Musa yang ingin tahu butiran kesemua cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan yang telah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, bersesuaian dengan nasihat Majlis Raja-Raja juga, pemakaian undang-undang itu bersifat ke hadapan dan bukan retrospektif.

"Pindaan ini juga terdapat cadangan supaya pemakaiannya adalah bagi satu generasi ertinya mengambil contoh kes Suriani Kempe, anaknya mengikut kuat kuasa undang-undang ialah warganegara secara automatik tetapi cucunya kelak perlu membuat permohonan kewarganegaraan," katanya.

Pada 14 Disember 2022, Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan.

Pada 5 Ogos tahun sama, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu dan bapa warganegara Malaysia secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.– BERNAMA

Berita Harian X