Khamis, 14 Disember 2023 | 4:22pm
Zulkapli (dua, kiri) mendaftar MyDigital ID bersama warga kerja JPA di lobi JPA, hari ini.
Zulkapli (dua, kiri) mendaftar MyDigital ID bersama warga kerja JPA di lobi JPA, hari ini.

KSU kementerian baharu diumum masa terdekat

PUTRAJAYA: Pelantikan Ketua Setiausaha (KSU) untuk kementerian baharu yang diwujudkan susulan rombakan Kabinet pada Selasa lalu akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

Beliau berkata, rombakan dalam kalangan KSU itu akan dilaksanakan untuk memastikan setiap kementerian diterajui KSU bagi penyelarasan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku sebarang pertindihan tanggungjawab dan kuasa.

"Sudah tentu akan ada lagi rombakan KSU yang akan dilakukan untuk memastikan semua kementerian mempunyai KSU masing-masing," katanya selepas membuat pendaftaran Identiti Digital Nasional atau MyDigital ID bersama warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan rombakan Kabinet pada Selasa lalu mengumumkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dipecahkan.

NRECC dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, manakala KKD dipecahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Mengulas kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Zulkapli berkata, laporan interim kajian sistem itu yang mengandungi syor dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri bulan depan.

"Ia (laporan) masih memerlukan tambah baik kerana ini laporan pertama disediakan selepas Perdana Menteri mengarahkan satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mengkaji semula SSPA," katanya.

Pada 14 Julai lalu, kerajaan bersetuju mengkaji semula sistem saraan dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan tiada semakan gaji dibuat sejak 2012.

Susulan itu, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) diadakan pada 7 Ogos lalu bagi membincangkan SSPA sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam.

Berkenaan MyDigital ID, Zulkapli berkata, usaha akan dilakukan untuk memastikan semua penjawat awam mendaftar yang akan memberi kemudahan bagi urusan penyampaian perkhidmatan lain membabitkan semua kementerian.

Beliau berkata, MIMOS Bhd sebagai agensi pelaksana program MyDigital ID akan menyediakan kemudahan mencukupi menjelang pertengahan tahun depan, seterusnya pendaftaran dilaksanakan kepada semua kementerian dan seluruh negara.

MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna ketika melakukan transaksi secara dalam talian dengan kemudahan single sign on (SSO).– BERNAMA

Berita Harian X