Khamis, 14 Disember 2023 | 1:33pm
Syed Alidistur (tengah) ketika menyampaikan replika cek bantuan kepada penerima di Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Agro Industri Selain Padi (Baka Lembu, Kambing dan Biri-Biri) Tahun 2023 di Dewan Pejabat KADA Jajahan Pasir Puteh. -Foto NSTP/Nor Amalina Alias
Syed Alidistur (tengah) ketika menyampaikan replika cek bantuan kepada penerima di Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Agro Industri Selain Padi (Baka Lembu, Kambing dan Biri-Biri) Tahun 2023 di Dewan Pejabat KADA Jajahan Pasir Puteh. -Foto NSTP/Nor Amalina Alias

Pesawah KADA rugi RM17 juta akibat banjir

PASIR PUTEH: Penanam padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mencatat kerugian lebih RM17 juta akibat banjir di negeri ini.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Syed Alidistur Syed Mohd Zain, berkata kerugian membabitkan 1,239 peserta dengan keluasan tanaman 3,010 hektar.

Katanya, ini membabitkan tanaman padi di lima jajahan di bawah KADA iaitu Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat dan Pasir Mas bagi tanaman musim 1/2023.

"Sepatutnya bulan November dan bulan ini petani sudah boleh tuai hasil padi.

"Tetapi memandangkan musim tengkujuh kali ini, kita terima hujan berterusan hampir 14 hari menyebabkan padi tenggelam," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Agro Industri Selain Padi (Baka Lembu, Kambing dan Biri-Biri) Tahun 2023 di Dewan Pejabat KADA Jajahan Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KADA, Mohd Razif Abdullah.

Syed Alidistur berkata, keadaan padi yang rosak menyebabkan pembeliannya dipotong sehingga 90 peratus menyebabkan kerugian kepada petani.

Beliau berkata, keadaan ini berlaku akibat petani tidak mengikut jadual penanaman yang ditetapkan pihak KADA.

"Kita jangkakan jika hujan berterusan, kerugian akan bertambah dan minta petani mematuhi jadual yang dikeluarkan bagi mengelakkan kerugian," katanya.

Tambahnya, pihak KADA juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi berkaitan bagi membaikpulih struktur beberapa kawasan saliran di bawah seliaan.

Sementara itu, pada program berkenaan seramai 108 penerima menerima bantuan ternakan seperti lembu, kambing dan biri-biri membabitkan jumlah bantuan RM550,000.

Syed Alidistur berkata, bantuan membabitkan keseluruhan peruntukan RM1.5 juta kepada 677 penerima manfaat bagi kategori ternakan, sayuran dan buahan, unggas dan ternakan ikan tawar bagi meningkatkan taraf ekonomi kumpulan sasar B40.

"Bagi memastikan kejayaan bantuan, jenis ternakan atau bantuan kita berikan kepada mereka yang sudah melaksanakan ternakan atau penanaman yang diwarisi daripada keluarga, contohnya menternak lembu.

"Mungkin sebelum ini mereka pelihara secara tradisional, jadi kita (KADA) bagi bantuan ternakan lembu, ajar cara penjagaan, pemilihan pemakanan, beri ilmu baharu jadi mereka lebih efektif tingkatkan ekonomi keluarga," katanya.

Berita Harian X