Khamis, 14 Disember 2023 | 12:22pm
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan timbalannya yang baharu, Datuk Mustapha Sakmud (tengah) bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya, hari ini. - BERNAMA
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan timbalannya yang baharu, Datuk Mustapha Sakmud (tengah) bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya, hari ini. - BERNAMA

Zambry jamin terus dasar sedia ada di KPT, fokus 3 teras utama

PUTRAJAYA: Tiga teras dalam institusi pengajian tinggi (IPT), iaitu mahasiswa, tenaga pengajar dan pentadbir menjadi fokus utama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau menegaskan, komponen terbabit penting dalam memacu sektor pendidikan tinggi ke peringkat yang lebih baik seperti dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, setiap dasar sedia ada yang diletakkan Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan diteruskan, termasuk digariskan dalam dasar pendidikan tinggi negara.

"Ada tiga kelompok teras utama, pertama mahasiswa, kedua ialah tenaga pengajar dan ketiga ialah pentadbir. Jadi ada tiga komponen mustahak yang perlu kita lihat.

"Kita berada dalam konteks kerajaan yang sama, Mohamed Khaled sudah meletakkan landasan yang baik sepanjang setahun sebagai menteri sebelum ini dan tentunya saya akan meneruskan agenda yang digagaskan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi 'clock in' di lobi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini, hari ini. Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud.

Ditanya mengenai amanat Perdana Menteri supaya semua anggota Kabinet bekerja secara berpasukan, Zambry berkata, peringatan itu penting khususnya dalam konteks pendidikan tinggi negara.

"Bukan hanya dalam konteks kementerian, tetapi juga antara kementerian, ada hal yang berkaitan dengan tugasan tertentu yang memerlukan kebersamaan dalam konteks antara kementerian.

"Ini sangat mustahak apatah lagi dalam konteks pendidikan kerana pendidikan tinggi sangat luas konsepnya, sama ada di universiti awam atau swasta, TVET (Pendidikan dan LatihanTenikal dan Vokasional), politeknik dan sebagainya," katanya.

Justeru, beliau memberi jaminan akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanah oleh Perdana Menteri dengan baik.

"Di bawah Kerajaan MADANI, saya akan melakukan yang terbaik bersama pasukan kerana saya tidak mampu melaksanakan misi besar pendidikan tinggi negara yang sudah disusun, digariskan berseorangan," katanya.

Berita Harian X