Rabu, 13 Disember 2023 | 9:05pm
Ramanan mendengar taklimat pada hari pertama memulakan tugas sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, hari ini. - Foto BERNAMA
Ramanan mendengar taklimat pada hari pertama memulakan tugas sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, hari ini. - Foto BERNAMA

Ramanan masih Pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA

PUTRAJAYA: Datuk R Ramanan yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kekal memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

"Status-quo kekal," katanya sebagai mengulas status jawatan itu apabila ditanya media, semasa ditemui selepas mengimbas kad perakam waktu di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini hari ini sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu dilantik sebagai Pengerusi MITRA pada bulan April lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan semalam Anwar mengumumkan pelantikan Ramanan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, mengambil tempat K Saraswathy yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Perpaduan.

Sementara itu, Ramanan berkata, beliau diberi taklimat mengenai pencapaian serta agenda KUSKOP untuk tahun 2023, di samping beberapa aspirasi yang digariskan bagi 2024, dan beliau beriltizam untuk meneruskan idea kementerian, bagi mewujudkan ekosistem menyeluruh bagi usahawan dalam negara.

Antara aspirasi yang digariskan termasuk meningkatkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri berimpak tinggi bagi memperkasa rantaian bekalan domestik dan rantaian nilai global serta meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan agar lebih kalis cabaran dan berdaya maju.

Ramanan berkata, beliau akan berbincang Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick bagi mencari kaedah untuk menghasilkan lebih ramai usahawan. – BERNAMA

Berita Harian X