Rabu, 13 Disember 2023 | 6:47pm

Tak sampai 24 jam angkat sumpah, Dr Dzul gulung perbahasan di Dewan Negara

KUALA LUMPUR: Sekitar jam 8.15 pagi tadi, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memulakan tugasan hari pertama selepas dilantik semula menerajui kementerian lamanya, kemudian hadir mesyuarat Kabinet dan selepas itu bergegas ke Dewan Negara pula.

Walaupun sudah tiga tahun tidak memegang sebarang jawatan dalam Jemaah Menteri selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari 2020, Ahli Parlimen Kuala Selangor ini langsung tidak canggung, turut membuat ucapan penggulungan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2023.

Dalam ucapannya mengenai RUU itu, Dr Dzulkefly berkata, antara tanggapan salah orang ramai ialah nikotin boleh dijual secara bebas kepada kanak-kanak dan remaja, sedangkan RUU itu bertujuan melarang penjualan produk tembakau dan vape kepada pengguna 18 tahun ke bawah.

Mengakui memahami mengapa ada pihak kecewa dengan pengguguran peruntukan Generasi Penamat (GEG) daripada RUU terbabit, beliau berkata, dirinya juga berperasaan demikian kerana beliau penyokong kesihatan awam yang kuat.

"GEG adalah satu cara untuk kita mengurangkan ketagihan merokok daripada 21 peratus kepada di bawah 5 peratus menjelang 2040. Apabila GEG dikeluarkan daripada rang undang-undang, bayangkan betapa sukarnya untuk mengurangkan ketagihan merokok.

"Sedangkan dengan GEG itu sukar, apa lagi tanpa peruntukan GEG," katanya menambah, tanpa GEG, KKM menghadapi kesukaran untuk mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) mengurangkan kelaziman merokok dan vaping kepada bawah 5 peratus.

"Kita semua, sama ada dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) atau KKM mahu GEG dimasukkan dalam rang undang-undang, tetapi Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menasihatkan supaya ia dikeluarkan kerana akan ada isu perlembagaan atau kemungkinan dicabar di mahkamah.

"Jadi, Kabinet membuat keputusan kolektif untuk mengecualikan GEG. Bagaimanapun, saya ingin menyatakan bahawa ini adalah proses yang kita akan kaji semula dari semasa ke semasa," katanya.

Jelasnya, JPKP yang dipengerusikannya telah mengadakan 14 mesyuarat melibatkan 13 orang awam mewakili universiti swasta, panel pakar serta pihak berkepentingan, termasuk industri, kementerian lain, dan NGO perubatan untuk menyemak RUU itu bagi versi Jun lalu.

"Tiada sesiapa yang terpinggir dalam penglibatan pihak berkepentingan. Saya ingin menegaskan bahawa JPKP pada masa itu, melakukan perbincangan meja bulat selama berjam-jam, dengan perbincangan dan perbahasan yang aktif.

"Saya meminta semua ahli Dewan memahami bahawa walaupun kita tidak dapat memasukkan GEG dalam DR42/2023, ini adalah akta kendiri pertama untuk mengawal merokok dan vape. Anda perlu faham bahawa ini mengambil masa sangat lama, bermula dengan Menteri Kesihatan, Dr S Subramaniam ketika itu," jelasnya.

Beliau menggesa semua ahli Dewan Negara untuk menyokong RUU itu walaupun tanpa GEG sambil mengingatkan bahawa 27,000 orang mati akibat penyakit berkaitan merokok di Malaysia setiap tahun, berbanding 36,000 kematian COVID-19 yang berlaku dalam tempoh dua tahun.

"Walaupun kita tidak boleh mendapatkan semua, jangan tinggalkan segala-galanya. Sebelum ini, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 adalah di bawah Akta Makanan 1983, ia sangat tidak wajar, satu anomali untuk kawalan tembakau diletakkan di bawah Akta Makanan," katanya.

Beliau berkata, peraturan sebelum ini juga hanya meliputi rokok dan produk tembakau, tetapi vape atau cecair e-rokok dengan bahan dan perisa lain tidak termaktub dalam peraturan itu.

Justeru, Dzulkefly mengingatkan, adalah tidak bertanggungjawab jika ahli Dewan Negara menolak RUU berkenaan hanya kerana GEG tidak disertakan.

Berita Harian X