Rabu, 13 Disember 2023 | 4:06pm

Kenapa Kementerian Komunikasi dan Digital dipecahkan? ini penjelasan menteri

PUTRAJAYA: Pengasingan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kepada dua kementerian berbeza penting bagi kerajaan meningkatkan pembangunan ekonomi negara khususnya dalam sektor digital.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ini kerana pembentukan dua kementerian berbeza itu khususnya Kementerian Digital, berupaya menyelaraskan semua aspek membabitkan sektor berkenaan.

"Penting saya tegaskan kenapa KKD dipecahkan. Sebab dalam pengalaman saya dan saya dah sampaikan juga kepada Perdana Menteri, aspek digital ini adalah aspek yang sebelum ini mencakupi dan merangkumi sejumlah kementerian yang lain.

"Sebagai contoh, dari segi pelaporan, agensinya adalah MyDigital Corp di bawah Kementerian Ekonomi bagi sektor digital, manakala bagi 'Startup' di bawah MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), 'Scale up' di bawa MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) bersama KKD," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, dengan pelbagai aspek digital di pelbagai agensi, perlu ada penyelarasan kerana berdasarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, ekonomi digital akan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

"Maka keputusan untuk memisahkan dan menjadikan digital itu satu kementerian, bagi saya itu adalah satu keputusan yang tepat dan tepat pada masanya.

"Dengan ada semua agensi ini nanti, diselaraskan oleh seorang menteri yang fasih dengan undang-undang dan faham dengan pentingnya aspek kawal selia terutama dalam teknologi, bukan hanya AI (kecerdasan buatan), tetapi juga dalam 'artificial general inteligence' yang sekarang semakin disebut-sebut," katanya.

Dalam rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, KKD dipecahkan menjadi dua kementerian berbeza iaitu Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Kementerian Digital diterajui bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (kanan) ketika sidang media di Putrajaya, sebentar tadi. Turut hadir, timbalannya, Teo Nie Ching. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (kanan) ketika sidang media di Putrajaya, sebentar tadi. Turut hadir, timbalannya, Teo Nie Ching. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X