Rabu, 13 Disember 2023 | 3:17pm

Denda RM3,499 kerana berbogel ceroboh rumah munasabah, adil - Majistret

KUALA LUMPUR: Adil, wajar dan munasabah untuk hukuman denda RM3,499 terhadap seorang penganggur kerana menceroboh masuk rumah dalam keadaan bogel, tahun lalu.

Demikian kesimpulan dibuat Mahkamah Majistret Kota Bharu, selepas Mohd Anwar Husain, 35, membuat rayuan akibat tidak berpuas hati dikenakan denda itu dan akan dipenjara 10 bulan jika gagal membayarnya oleh mahkamah sama.

Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri berkata hukuman berkenaan adalah setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh, malah jumlah denda tidak berlebihan dan tidak melampaui peruntukan undang-undang serta prinsip hukuman.

"Jumlah denda yang berpadanan bagi memberi keinsafan kepada tertuduh supaya tidak ulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

"Setelah melakukan pertimbangan jitu, mahkamah mendapati bahawa tahap kesengajaan yang dilakukan tertuduh dalam perlakuan jenayahnya adalah sepadan dengan amaun denda dikenakan.

"Ia sekali gus menatijahkan hukuman seperti mana diputuskan mahkamah ini ke atas tertuduh tempoh hari (sebelum ini)," katanya dalam alasan penghakiman minggu lalu.

Pada 17 Ogos 2022, Mohd Anwar berdepan tuduhan menceroboh sebuah rumah di Kota Bharu, Kelantan, sehari sebelum didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh memfailkan rayuan pada 8 November lalu, selepas tidak berpuas hati dengan amaun denda yang dikenakan susulan pengakuan bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Ahmad Syafiq Aizat berkata mengikut fakta kes, tertuduh berada dalam bilik pengadu yang menjerit kerana melihat Mohd Anwar dalam keadaan bogel.

Susulan itu, tertuduh bersembunyi di bilik sebelah sebelum akhirnya dapat ditahan.

"Fakta ini diakui sendiri oleh tertuduh semasa pengakuan salah serta disokong oleh dokumen pembuktian dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

"Fakta ini jika diamati adalah sangat merunsingkan mahkamah, apatah lagi tertuduh sahkan tiada hubungan dan tidak mengenali pengadu ketika ditanya oleh mahkamah.

"Kekhuatiran mahkamah terhadap jenayah yang lebih besar boleh berlaku berdasarkan fakta kes berkenaan dan faktor itu membawa kepada tahap kesengajaan tertuduh yang tinggi dalam melakukan kesalahan sebagaimana pertuduhan.

"Fakta ini yang menjadi petunjuk mahkamah bahawa amaun denda RM3,499 dan sekiranya gagal bayar dikenakan 10 bulan penjara amat setimpal dengan kesalahan tertuduh," katanya.

Berita Harian X