Rabu, 13 Disember 2023 | 2:57pm
Dua lori rempuh sebuah rumah dan warung selepas terbabit kemalangan yang turut membabitkan sebuah motosikal di Kilometer 75 Jalan Kota Bharu–Gua Musang dekat Pahi. - Foto ihsan polis
Dua lori rempuh sebuah rumah dan warung selepas terbabit kemalangan yang turut membabitkan sebuah motosikal di Kilometer 75 Jalan Kota Bharu–Gua Musang dekat Pahi. - Foto ihsan polis

2 lori rempuh rumah, warung selepas kemalangan

bhnews@@bh.com.my

KUALA KRAI: Dua lori merempuh sebuah rumah dan warung selepas terbabit kemalangan di Kilometer 75 Jalan Kota Bharu–Gua Musang dekat Pahi, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 3.15 petang itu menyebabkan pemandu kedua-dua lori terbabit masing-masing berusia 29 dan 39 tahun cedera.

Kemalangan turut membabitkan sebuah motosikal dengan penunggangnya patah kaki kiri, akibat dirempuh salah sebuah lori terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Gua Musang menghala Kota Bharu sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Lori itu kemudian berlanggar dengan lori lain dan sebuah motosikal sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan dan merempuh rumah berhampiran lokasi.

"Sebuah lagi lori terbabas di bahu jalan dan merempuh warung yang berada di laluannya," katanya menerusi kenyataan.

Pemandu kedua-dua lori bersama penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di Kuala Krai untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X