Rabu, 13 Disember 2023 | 1:31pm
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan, Azman Adnan. - NSTP/FAIL
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan, Azman Adnan. - NSTP/FAIL
Foto hiasan
Foto hiasan

'Itu hanya persepsi' - KPM ulas kemungkinan pengetua, guru besar sembunyi kes buli

KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) ke atas pengetua dan guru besar sekolah yang ada kes buli murid bergantung pada situasi kes.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) KPM, Azman Adnan, berkata bukan semua kes buli membabitkan pelajar, menyaksikan pengetua atau guru besar sekolah berkenaan dikenakan tindakan.

"Tidak semua kes buli membabitkan murid yang dilaporkan kepada KPM akan menyebabkan pengetua atau guru besar sekolah terbabit dikenakan tindakan. Tindakan ke atas pengetua dan guru besar berkenaan akan dilakukan berdasarkan situasi kes.

"Kita akan lihat berdasarkan laporan, buat siasatan dan ambil tindakan berdasarkan prosedur yang ada. Saya tak boleh kata tidak ada tindakan (ke atas pengetua, guru besar), tapi bergantung kepada kes," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape KPM Peringkat Kebangsaan 2023, di sini hari ini, ditanya mengenai kemungkinan kes buli di sekolah disembunyikan kerana pengetua atau guru besar takut dikenakan tindakan KPM.

"Itu hanya persepsi," katanya.

Mengenai sejauh mana Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli Kementerian Pendidikan (KPM) dipatuhi sekolah, Azman berkata, semua sekolah di bawah KPM sudah diberikan pendedahan mengenai garis panduan berkenaan, termasuk mekanisme untuk menangani kes dan prosedur berkaitan.

"Kita tahu semua sekolah melaksanakan mengikut prosedurnya. Bila ada aduan, kita akan siasat dan dari situ, kita akan laksanakan intervensi bersesuaian untuk menangani isu buli supaya tidak berlaku lagi.

"Pada masa sama, kita juga membabitkan Jawatankuasa Permuafakatan Sekolah, termasuk ibu bapa dan komuniti untuk kita selesaikan isu berkaitan buli ini," katanya.

Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli KPM, antara lain mewajibkan pengetua dan guru besar yang mengetahui kejadian salah laku buli di sekolah masing-masing mengambil lima tindakan pengendalian aduan dalam tempoh 24 jam.

Berita Harian X