Rabu, 13 Disember 2023 | 12:00am
FOTO AFP
FOTO AFP

Resolusi 377 PBB hanya tinggal cadangan jika anggota tetap UNSC tidak bersatu - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Perhatian kini tertumpu kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dijangka mengundi untuk gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza susulan permintaan rasmi daripada Mesir dan Mauritania, menggunakan Resolusi 377A (V) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Langkah itu diambil selepas Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Jumaat lalu gagal meluluskan draf resolusi menggesa gencatan senjata kemanusiaan di Gaza, apabila Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya.

Resolusi 377 yang juga dikenali sebagai 'Uniting for Peace' (Bersatu untuk Keamanan), memberi kuasa kepada UNGA untuk bertindak apabila UNSC gagal mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa akibat ketiadaan sokongan sebulat suara dalam kalangan lima anggota tetapnya (P5) - China, Perancis, United Kingdom (UK), AS dan Russia.

Walaupun terdapat keyakinan bahawa sesi khas UNGA akan merealisasikan hasrat untuk menghentikan pencerobohan Israel di Gaza, penganalisis berpendapat kebanyakan resolusi UNGA masih memerlukan kerjasama daripada semua negara anggota, termasuk P5 UNSC yang sering dilihat sebagai batu penghalang.

Penasihat Utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr Oh Ei Sun menegaskan tanpa kerjasama dan penguatkuasaan daripada P5, kebanyakan resolusi UNGA hanya akan berakhir sebagai cadangan semata-mata.

Beliau yang juga Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kebolehgunaan Resolusi 377A PBB untuk mengetepikan veto anggota tetap UNSC adalah isu yang dipertikaikan, tanpa wujud tindakan seumpamanya yang berjaya setakat ini.

"Ia berkemungkinan tidak membawa apa-apa hasil seperti banyak gesaan sebelum ini. Hakikat 'yang mesti diterima' P5, walaupun berbeza ideologi, mempunyai kepentingan bersama untuk tidak menjadikan (Resolusi) 377A benar-benar berkesan kerana itu akan menghakis kuasa veto mereka," katanya.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Dr Ahmad Badri Abdullah, berkata Resolusi 377A tidak mempunyai kuasa langsung untuk mengetepikan veto AS kerana ia tidak mengikat dari segi undang-undang.

Bagaimanapun, beliau berkata, resolusi 'Bersatu untuk Keamanan' mencerminkan hati nurani kolektif masyarakat global dan memberi tekanan moral serta politik terhadap pihak-pihak yang terbabit dalam konflik Gaza.

Di sebalik simbolisme, resolusi itu menawarkan peluang untuk mengumpul pendapat umum global dan mempromosikan penyelesaian damai serta usaha bersama seperti operasi pengaman atau campur tangan kemanusiaan yang sangat diperlukan di Gaza.

Ahmad Badri berkata, kemungkinan untuk mendesak PBB menggunakan Resolusi 377A mungkin bergantung pada tahap kesegeraan, solidariti dan penyelarasan dalam kalangan yang menyokong resolusi gencatan senjata PBB.

Kedua-dua penganalisis bersetuju bahawa kuasa Barat boleh mempengaruhi Israel untuk menghentikan serangannya ke atas Gaza, namun mereka tidak bersedia untuk berbuat demikian.

"Apabila kuasa Barat tidak berhasrat menyokong resolusi itu, ia akan kekal sebagai cadangan semata-mata," kata Ei Sun.

Ahmad Badri pula berkata, Israel sebagai punca kepada krisis kemanusiaan itu, sangat bergantung pada AS dan sekutu-sekutu Barat lain untuk memperoleh pelbagai bentuk sokongan yang bergantung pada kehendak politik serta visi strategik kuasa Barat.

"Setakat ini, kuasa Barat menunjukkan kurang keazaman serta tidak konsisten dalam menggunakan pengaruh mereka untuk mengekang Israel daripada menggunakan kekerasan yang tidak seimbang dan sewenang-wenangnya terhadap penduduk Gaza yang dikepung," katanya.

Ahmad Badri menekankan bahawa kegagalan untuk mengekang Israel bukan saja memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza, malah merosakkan kredibiliti dan legitimasi kuasa Barat pada peringkat global, yang boleh membawa kepada munculnya blok kuasa alternatif seperti yang dilihat dalam pengaruh semakin meningkat dari Selatan Global.

Menurut laporan media, sekurang-kurang 18,205 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 49,645 lagi cedera dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu. – BERNAMA

Berita Harian X