Selasa, 12 Disember 2023 | 9:37pm
Gambar fail - Keadaan semasa sekitar kawasan Apartment Idaman Damansara Damai susulan penemuan mayat mangsa bunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Gambar fail - Keadaan semasa sekitar kawasan Apartment Idaman Damansara Damai susulan penemuan mayat mangsa bunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Polis periksa rumah ke rumah, jejaki pembunuh Zayn Rayyan malam ini

PETALING JAYA: Pasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir ke Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, untuk pemeriksaan rumah ke rumah, malam ini.

Operasi itu bagi meneruskan siasatan berhubung kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pemeriksaan dilakukan itu adalah bagi mengesan dan mengumpul lebih banyak bukti yang boleh membantu siasatan.

"Pemeriksaan malam ini membabitkan anggota daripada Unit Forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, beberapa kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Forensik dilihat memasuki sekitar pekarangan blok R Apartmen Idaman.

Kenderaan berkenaan dilihat memasuki kawasan blok itu jam 7.55 malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak istimewa itu hilang pada Selasa lalu dan dikatakan kali kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran apartment berkenaan.

Kanak-kanak berusia enam tahun terbabit disedari hilang oleh ibunya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartmen berkenaan pada 12.30 tengah hari.

Berikutan penemuan mayat kanak-kanak itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematiannya diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Berita Harian X