Selasa, 12 Disember 2023 | 6:32pm
Anggota polis melakukan pemeriksaan di kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui pada 6 Disember lalu - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Anggota polis melakukan pemeriksaan di kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui pada 6 Disember lalu - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Anjing pengesan dibawa periksa Blok R kediaman Zayn Rayyan

PETALING JAYA: Anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibawa membuat pemeriksaan di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, hari ini.

Anggota Unit K9 dilihat tiba di lokasi dan mula membuat pemeriksaan di Blok R apartmen terbabit kira-kira jam 5.10 petang.

Bersama seekor anjing pengesan, anggota Unit K9 kemudian dilihat memasuki Blok R bersama beberapa anggota polis.

Difahamkan, pemeriksaan bersama anjing pengesan dilakukan di aras 3 dan 4 blok apartmen lima tingkat berkenaan.

Selepas kira-kira 25 minit, kumpulan anggota polis bersama anjing pengesan dilihat selesai menjalankan pemeriksaan sebelum meninggalkan lokasi pada jam 5.40 petang.

Terdahulu, BH melaporkan pasukan Unit Forensik PDRM hari ini, dibantu anggota bomba mengepam keluar air dari kawasan takungan air yang terdapat pada anak sungai berhampiran lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui 6 Disember lalu.

Ini bertujuan untuk mencari bukti-bukti baharu yang mungkin ada di dalam takungan air berkenaan.

Proses mengeringkan takungan air berkenaan bermula kira-kira jam 12.20 tengah hari namun tergendala susulan hujan lebat lebih dua jam di lokasi.

Operasi itu kemudian dihentikan dan dijangka disambung pada esok pagi.

Berita Harian X