Selasa, 12 Disember 2023 | 5:19pm
Taufik ketika berucap pada PIBG di SMK Iskandar Shah, Parit, Perak. - Foto ihsan SMK Iskandar Shah
Taufik ketika berucap pada PIBG di SMK Iskandar Shah, Parit, Perak. - Foto ihsan SMK Iskandar Shah

PIBG penghubung kemajuan pencapaian SPM sekolah

PARIT: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berperanan sebagai penghubung antara guru, sekolah, masyarakat dan pelajar berupaya memberi kesan kepada kemajuan serta pencapaian sekolah untuk mencetus hala tuju dan kecemerlangan pendidikan pelajar di sekolah terbabit.

Hal ini diakui Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, di Parit, Taufik Md Eudin dan berkata, pada dasarnya PIBG bukan sekadar menjadi 'penghubung' dan bertanggungjawab mencari dana serta menambah kewangan sekolah, sebaliknya membantu memantau prestasi dan disiplin pelajar di luar sekolah.

Katanya, malah menghadapi musim peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PIBG perlu aktif membantu dan memberi komitmen bersama sekolah bagi memantapkan persediaan calon SPM supaya dapat mencapai prestasi cemerlang.

Beliau berkata, bagi meningkatkan tahap kecemerlangan sekolah, tanggungjawab itu tidak seharusnya diletakkan semata-mata kepada pengurusan sekolah atau pihak berkenaan seperti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Justeru, Taufik bagi pihak PIBG, aktif menganjurkan kem kecemerlangan dan pemantapan calon SPM SMK Iskandar Shah, selain memastikan bantuan yang disalurkan terus kepada pihak sekolah seperti inisiatif program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) kelolaan kerajaan negeri, dimanfaatkan sepenuhnya.

"Untuk program seperti TCS, kami di PIBG tidak dibabitkan secara langsung kerana ia disalurkan terus kepada sekolah dan difahamkan program itu memberi impak kepada prestasi pencapaian pelajar SMK Iskandar Shah.

"Selain kem kecemerlangan, ada juga peruntukan dana kelas tambahan daripada PIBG untuk calon SPM dan pelajar Tingkatan 4 yang mana bagi musim peperiksaan SPM ia disekalikan dengan pelaksanaan program TCS bagi pelajar Tingkatan 5," katanya kepada BH.

Beliau berkata, SMK Iskandar Shah mempunyai 594 pelajar dan daripada jumlah itu 61 pelajar adalah calon SPM, manakala pelajar Tingkatan 6 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berjumlah 61 orang.

Katanya, 55 calon SPM di sekolah itu adalah penerima bantuan program TCS, iaitu bantuan makan tengah hari bernilai RM5 seorang selama 20 hari ketika sesi kelas tambahan, kelas intensif dan tuisyen. Malah, bantuan sama turut diterima 37 calon STPM sekolah itu.

Taufik berkata, sumber kewangan PIBG antaranya daripada sumbangan ibu bapa serta pihak luar seperti melalui pembayaran zakat, alumni dan sebagainya.

Katanya, PIBG turut menggalas tugas menyaring kelayakan penerimaan bantuan yang disalurkan kepada pelajar khususnya bagi yang dalam kategori B40 atau asnaf.

Pada 5 Disember lalu, kerajaan negeri Perak mengumumkan dana RM2.67 juta bagi meneruskan program bantuan makanan percuma kepada calon peperiksaan utama pada tahun ini di bawah pelaksanaan inisiatif TCS yang dijangka memberikan manfaat kepada 26,628 calon.

TCS adalah inisiatif kerajaan negeri di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyediakan pelbagai inisiatif dan bantuan khusus iaitu tuisyen serta kelas tambahan, serta bantuan khas makanan dalam pelbagai program untuk pelajar di negeri ini menjelang peperiksaan utama.

Berita Harian X