Selasa, 12 Disember 2023 | 4:06pm
Pasangan suami isteri yang terkorban, Allahyarham Mohammed J H Alzaanin dan Allahyarhamah Kholoud M H Elzaneen. Foto Ihsan USIM.
Pasangan suami isteri yang terkorban, Allahyarham Mohammed J H Alzaanin dan Allahyarhamah Kholoud M H Elzaneen. Foto Ihsan USIM.

Pasangan suami isteri terkorban serangan Israel terima ijazah anumerta hari ini

NILAI: Bacaan al-Fatihah dan paparan video mengiringi penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Ijazah Sarjana masing-masing kepada dua bekas siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Palestin, Allahyarham Mohammed J H Alzaanin dan isterinya, Allahyarhamah Kholoud M H Elzaneen.

Mereka sepatutnya hadir menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen USIM Kali ke-21 di Dewan Tuanku Canselor USIM, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kedua-dua siswazah terbabit bersama empat anak mereka, terkorban akibat serangan bom rejim Zionis di Gaza, Palestin, pada 8 Oktober lalu.

Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan menyampaikan kedua-dua ijazah milik Allahyarham dan Allahyarhamah secara anumerta kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abuali.

Walid ketika ditemui berkata, pihaknya rasa terharu dan berterima kasih kepada USIM serta percaya pengurniaan ijazah berkenaan sebagai tanda solidariti berterusan ke atas rakyat Palestin.

"Amat menyedihkan apabila pasangan suami isteri yang tidak bersalah menjadi mangsa korban serangan tentera Israel.

"Memang sesuatu yang pahit untuk ditelan tapi itulah yang berlaku di Palestin angkara kekejaman Zionis Israel.

Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud (kanan) menyampaikan ijazah milik Allahyarham dan Allahyarhamah secara anumerta kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abuali di Nilai hari ini. Foto Ihsan USIM.
Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud (kanan) menyampaikan ijazah milik Allahyarham dan Allahyarhamah secara anumerta kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abuali di Nilai hari ini. Foto Ihsan USIM.

"Saya akan cuba menghubungi anak mangsa yang terselamat untuk berkongsi kegembiraan yang diperoleh oleh ibu bapanya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri yang juga siswazah USIM bersama empat anak mereka, terkorban akibat serangan bom rejim Zionis di perkampungan didiami mereka di Bait Hanon di utara Gaza kira-kira jam 8 pagi, 8 Oktober lalu.

Empat daripada lima anak pasangan siswazah berkenaan iaitu Hasan, 13, Obaida 9, Khalid, 7, dan Amro, 4, juga maut dalam serangan berkenaan selain 20 ahli keluarga sanak saudara mereka.

Hanya anak sulung pasangan terbabit iaitu, Jameel, 15, terselamat dalam serangan kejam rejim Zionis yang menyasarkan orang awam ketika itu.

Allahyarham Mohammed J H Alzaanin dikatakan baharu selesai menjalani sesi viva di USIM pada 5 Julai lalu manakala isterinya dijadualkan menduduki ujian sama pada 23 Oktober lalu.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Muhammad Isyraq Husaini Muliadi, 23, dari Johor menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis konvokesyen berkenaan.

Pelajar Sarjana Muda Sains Komputer, Aufa Abdullah, 23, dari Kedah pula menerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Seramai 3,146 graduan dari 89 program pengajian akan menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen berkenaan yang akan berlangsung sehingga 15 Disember ini.

Berita Harian X