Selasa, 12 Disember 2023 | 1:15pm
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

Saya sedia berkhidmat semula - Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan baharu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata beliau bersedia untuk berkhidmat semula dalam kerajaan selepas berehat selama 12 bulan.

Melalui platform media sosial X, Dr Dzulkefly yang sebelum ini pernah memegang jawatan itu dari Mei 2018 hingga Februari 2020, mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dua belas bulan rehat yang baik atau seakan terhenti. Sedia untuk bangkit semula," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menjawab ucapan tahniah daripada Pengerusi MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin di platform media sosial berkenaan.

Dr Dzulkefly, yang juga Pengarah Strategi AMANAH berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum berlaku Langkah Sheraton, iaitu kerajaan ditumbangkan menerusi peralihan sokongan Ahli Parlimen.

Selepas Kerajaan Perpaduan memerintah pada November 2022, Dr Dzulkefly tidak dilantik ke dalam Kabinet.

Lahir pada 1 Januari 1956, Dr Dzulkefly, mendapat pendidikan awal dan menengah rendah di Singapura dan kembali ke Malaysia sebelum mendapat peluang melanjutkan pelajaran A-Level dengan biasiswa kerajaan pada 1974.

Pencapaian akademik tertingginya ialah Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang toksikologi dari Imperial College, St. Mary's Hospital Medical School, Universiti London, United Kingdom pada 1993.

Selain itu, beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Sains dari Universiti Surrey dan Ijazah Pertama dari Universiti Birmingham, England (1980) dalam bidang yang sama.


SENARAI PENUH KABINET MALAYSIA


Berita Harian X