Selasa, 12 Disember 2023 | 12:39pm
Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kesihatan baru, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto fail NSTP
Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kesihatan baru, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto fail NSTP

'Kami perlukan pengalaman Dr Dzulkefly'

PUTRAJAYA: Pemilihan semula Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan pengalamannya selain untuk menangani pelbagai masalah yang terbeban di kementerian berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pemilihan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga dibuat kerana Dr Dzulkefly mampu memberi fokus lebih kukuh di kementerian terbabit.

"Pertama pengalaman beliau diperlukan, saya percaya boleh diberi fokus lebih kukuh di kementerian.

"KKM juga terbeban dengan banyak masalah, sebahagiannya diwarisi, sebahagiannya untuk memenuhi tuntutan rakyat dari segi mutu kesihatan lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan rombakan Kabinet di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly dipilih sebagai Menteri Kesihatan bagi menggantikan Dr Zaliha Mustafa yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri Kesihatan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018, bagaimanapun, beliau digugurkan daripada jawatan berkenaan susulan perubahan kerajaan pada awal 2020.

Pencapaian akademik tertinggi Dr Dzulkefly ialah Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) bidang Toksikologi dari Imperial College, St. Mary's Hospital Medical School, Universiti London UK pada 1993.

Selain itu, beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dari Universiti Surrey dan Ijazah pertama dari Universiti Birmingham, England (1980) dalam bidang yang sama.

Dr Dzulkefly pernah menjadi pensyarah di Fakulti Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang (1984-1989) dan HUSM, Kelantan (1993-1997) dan pernah menjadi pensyarah tamadun Islam di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1987-1997.

Beliau juga adalah bekas anggota British Toxicology Society (BTS) dan bekas Asia Pacific Association of Medical Toxicology (APAMT).

Berita Harian X